26 October 2009

Pemberontak Filipina bebaskan enam tawanan

BUTUAN, Filipina 25 Okt. - Pemberontak bersenjata yang menculik sekumpulan renjer hutan di selatan Filipina membebaskan enam tawanan mereka hari ini.

“Enam lelaki tersebut yang berusia antara 42 hingga 60 tahun telah diserahkan kepada perunding negara oleh penculik di luar Butuan petang ini,” kata ketua polis daerah, Lino Calingisan kepada pemberita.

Bagaimanapun, punca mereka dibebaskan tidak dinyatakan.

Dua orang tawanan telah dibebaskan tanpa dicederakan Jumaat lalu, dua hari selepas mereka diacu senapang dan diculik daripada kawasan pemeriksaan kerajaan terhadap aktiviti pembalakan haram.

Polis berkata, tiada seorang daripada lapan mereka yang memerlukan rawatan perubatan.

Ketua Supritendan Calingisan berkata, penculikan itu telah diketuai oleh pemimpin puak pemberontakan tempatan, Leandro Behing.

Pegawai tempatan berkata, lapan renjer hutan terbabit telah diculik sejurus selepas mereka menolak permintaan salah seorang daripada suspek bagi membenarkan sejumlah balak yang telah ditebang melepasi kawasan pemeriksaan.

Penculik menuntut supaya renjer terbabit membuka kawasan pemeriksaan selain melarang pembalak-pembalak lain memasukinya, menurut dua tawanan yang dibebaskan sebelum itu. - AFP

No comments:

Post a Comment