PAS mahu usaha membangunkan Port Dickson sebagai bandar pelancongan menjadi keutamaan di bandar itu dan bukannya
mengisytiharkannya sebagai "bandar tentera darat".
Naib Presiden PAS, yang juga pengarah induk pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Salahuddin Ayub berkata oleh itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak tidak perlu mengumumkan perkara itu, yang bertujuan meraih sokongan pengundi.
"Bukan saya tidak setuju tetapi kita katakan prioritinya ialah kita setuju untuk menjadikan Port Dickson satu destinasi pelancongan terbaik dunia. Jadi itu isu yang sebenarnya.
"Bukanlah datang di saat pilihan raya kecil Bagan Pinang dan terus isytihar ini bandar tentera darat," katanya kepada media di markas induk PAS bagi pilihan raya itu di Batu 4 dekat Port Dickson hari ini.
Pada pilihan raya kecil 11 Okt itu, calon BN yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, ditentang pesuruhjaya PAS negeri Zulkefly Mohamad Omar.
Katanya, jika menang PAS mampu membuat sesuatu dengan infrastruktur dan keindahan alam sedia ada dengan iltizam politik yang tinggi untuk menyelesaikan isu-isu pembangunan di Bagan Pinang.
Mengenai isu anggota parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan yang membaca sepotong ayat Quran ketika berkempen bagi pihak PAS di Port Dickson malam tadi, Salahuddin berkata perkara itu mungkin asing bagi orang Islam di negara ini tetapi ia tidak salah.
Seramai 13,664 pengundi Bagan Pinang akan memilih wakil rakyat mereka yang baru pada pilihan raya kecil Ahad ini.
Kerusi DUN Bagan Pinang menjadi kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor, dari BN, pada 4 Sept lepas.
Azman menang kerusi DUN itu pada pilihan raya umum 2008 setelah menewaskan calon PAS Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment