15 October 2009

Musa bidas blog pertikai polis gagal tangkap Petra

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini membidas beberapa penulis blog yang mempertikai kredibiliti polis yang masih gagal mengesan pengendali laman web Malaysia Today Raja Petra Raja Kamarudin, untuk hadir ke mahkamah.

Beliau berkata kelemahan bukanlah di pihak polis tetapi sebaliknya Raja Petra sendiri yang melarikan diri dan mengelak daripada diadili di mahkamah.

"Buat apa dia lari? Kalau dia kata apa yang dia tulis itu benar datanglah. Kita ada undang-undang oleh itu jawablah di mahkamah.

"Kalau lari maknanya dia tahu dia buat benda tidak betul.

"Kenapa kata kelemahan polis pula," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Aidilfitri dan Deepavali anjuran Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam hari ini.

Pada 12 Okt lepas, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menetapkan 11 Nov ini sebagai tarikh akhir sebutan waran tangkap terhadap Raja Petra dan notis tunjuk sebab kepada isterinya Marina Lee Abdullah selaku penjamin selepas enam bulan pengendali laman web itu melarikan diri.

Raja Petra menghilangkan diri ketika sedang dibicarakan terhadap tuduhan menerbitkan satu artikel berunsur hasutan di laman web berkenaan.

Ditanya sama ada Raja Petra masih berada di Malaysia, Musa menjawab: "Saya tidak tahulah". BERNAMA

* Atau lari daripada kekejaman polis.

No comments:

Post a Comment