30 October 2009

MIC dan MCA tidak setuju sekolah satu aliran

KUALA LUMPUR 30 Okt. — MIC dan MCA menentang cadangan melaksanakan sistem pendidikan satu aliran, dengan mengatakan bahawa sekolah jenis kebangsaan yang ada sekarang tidak akan menghalang usaha ke arah mewujudkan perpaduan nasional.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini berkata, sekiranya cadangan itu dikemukakan dalam usaha menjalin perpaduan kaum, ada banyak cara lain lagi untuk melakukannya dan bukan melalui sistem pendidikan satu aliran.

"Bagi sekolah Tamil, pelajar (India) akan berpeluang bergaul dengan kanak-kanak daripada kaum lain apabila mereka memasuki sekolah menengah,” katanya kepada pemberita sebelum menyerahkan cek bernilai RM1 juta kepada lebih 50 kuil Hindu di sini.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong berpendapat sistem persekolahan pelbagai aliran patut diteruskan kerana ia tidak akan menjejaskan perpaduan di kalangan masyarakat majmuk negara ini.

"Ia bukan penghalang kepada perpaduan nasional, sebaliknya bantu menerapkan semangat bersatu padu di kalangan masyarakat majmuk,” kata Wee kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemuda MCA di Wisma MCA hari ini.

Dr. Wee yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, walaupun bahasa pengantar di sekolah pelbagai aliran bukannya bahasa kebangsaan namun ia tidak menggugat pelajar untuk menghayati konsep 1Malaysia.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment