06 October 2009

Lupakan hasrat beli PLUS

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Mana-mana pihak yang berhasrat membeli syarikat pengendali tol terbesar di negara, PLUS Expressways Bhd. (PLUS) diminta melupakannya kerana syarikat itu tidak akan dijual.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, kerajaan langsung tidak berhasrat untuk menjualnya.

''Saya boleh menjaminnya.

''Kalau ada pihak yang berminat, saya hanya boleh ucapkan selamat berjaya (good luck) untuk membeli (PLUS) kerana kerajaan tidak bercadang menjualnya,'' katanya ketika ditemui selepas melancarkan Forum MegaTrend Khazanah Nasional di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi kononnya sebuah syarikat khas, Asas Serba Sdn. Bhd. berminat untuk membeli Plus.

Malah, beliau turut mengesahkan kerajaan tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada mana-mana syarikat untuk memiliki PLUS.

Laporan sebelum ini menyatakan Asas Serba diwakili oleh Pengerusi Dewan Perdagangan Melayu Kuala Lumpur, Datuk Syed Amin Aljeffri, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pinelabs (M) Sdn. Bhd., Ibrahim Bidin, bekas Ketua Pegawai Operasi Plus, Wan Kamaruddin Wan Mohamed Ali dan Pegawai Eksekutif Sepang Aircraft Engineering Sdn. Bhd., Syed Budriz Putra.

PLUS yang merupakan pengendali lebuh raya terpanjang milik kerajaan melalui Kerajaan Malaysia Khazanah Nasional sebanyak 24 peratus dan 40 peratus lagi oleh syarikat milik Khazanah, Kumpulan UEM Bhd.

Baki 22 peratus kepentingannya dipegang oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Bhd., sekali gus menyaksikan penguasaan kerajaan lebih 80 peratus.

Sebelum ini, Nor Mohamed berkata, Unit Perancang Ekonomi yang dipertanggungjawab untuk mengatasi kenaikan kadar tol berkata, kajian mengenainya di peringkat akhir sebelum dibentangkan kepada Kabinet.

Bagaimanapun, kebanyakan penganalisis telah pun menyatakan keyakinan mereka bahawa kerajaan akan terus memiliki Plus kerana dana yang besar berjumlah RM7 bilion diperlukan bagi memiliki baki saham yang tidak dimilikinya.

Malah, mereka yakin kerajaan juga tidak akan menjadikan PLUS sebuah entiti persendirian.

Selain itu, mengambil kira kepentingan PLUS yang turut dimiliki oleh pelabur asing, langkah itu akan menyebabkan kerajaan perlu memberi peruntukan besar bagi membeli aset-asetnya yang tidak akan memberi kesan berganda kepada ekonomi berbanding membina lebuh raya baru.

Bagaimanapun, kerajaan diberi cadangan supaya membeli aset dan liabiliti PLUS dalam usaha untuk memastikan syarikat pengendali tol itu berupaya mengenakan kadar tol yang rendah dan munasabah kepada penduduk Malaysia. - Utusan

No comments:

Post a Comment