24 October 2009

Klinik tak terima, bersalin dalam kereta

KUALA TERENGGANU: “Saya tidak sangka klinik swasta yang menjadi tempat kelahiran dua anak sebelum ini enggan menerima isteri saya yang hampir melahirkan anak kelima.

“Walaupun berulang kali merayu kepada tiga kakitangan klinik itu dan menunjukkan separuh kepala bayi yang sudah terkeluar, mereka tetap enggan menerimanya dan meminta pergi ke klinik lain dengan alasan doktor tiada pada masa itu,” kata Amrun Mamat, 49, yang menemani isterinya bersalin dalam kereta.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari kelmarin, isteri Amrun, Siti Norhayati Hambali, 30, mengadu sakit dan mahu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bersalin, namun belum sempat ke sana, dia terpaksa berhenti di klinik berkenaan di Jalan Kamaruddin apabila kepala bayinya hampir terkeluar.

Namun, nasib malang menimpa mereka apabila kehadirannya ke situ tidak disambut, sebaliknya kakitangan klinik berkenaan bertikam lidah dengan memberikan pelbagai alasan untuk tidak mahu melayannya.

“Sudahlah berdolak-dalik, malah dengan selamba mereka kembali masuk ke klinik apabila melihat isteri saya sudah hampir mahu melahirkan anak.

“Dalam keadaan panik dan tidak tahan dengan keadaan itu, saya terpaksa mengambil keputusan sendiri dengan meminta isteri melahirkan anak dalam kereta kerana waktu itu cukup genting dan tidak tahu hendak buat apa lagi,” katanya.

Namun, menurutnya yang menjadi ‘bidan terjun’ ketika itu, mujur isterinya mudah melahirkan anak dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Akibat terlalu panik, saya meletakkan bayi yang baru lahir tanpa dipotong tali pusat itu ke atas riba isteri dan memandu ke sebuah hospital pakar terletak berhampiran.

“Yang membuatkan saya bersyukur dan terharu, keadaannya sungguh berbeza apabila kakitangan di situ begitu prihatin dan keluar beramai-ramai membawa isteri ke bilik rawatan untuk rawatan lanjut,” katanya yang menetap di Kampung Panji Alam, di sini. - Mymetro

No comments:

Post a Comment