19 October 2009

Kes pukul: Awie beri keterangan 10 jam kepada polis

PULAU PINANG 18 Okt. - Penyanyi rock popular, Awie hari ini tampil memberi keterangan kepada polis berhubung dakwaan beliau terlibat dalam kes pukul seorang lelaki di sebuah pusat hiburan di Jalan Penang, di sini Julai tahun lalu.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 41, berada kira-kira 10 jam di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk memberi keterangan selepas dilihat tiba di situ pada pukul 1.15 petang.

Ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan, Awie yang juga seorang pelakon berkata, dia hadir memberi keterangan seperti yang diminta pihak polis sebelum ini.

''Setakat ini, saya tidak tahu apa tindakan polis selanjutnya kerana saya hanya datang sebagaimana yang diminta oleh polis dan telah memberi kerjasama sebaik mungkin.

''Saya beri keterangan bagi mempertahankan diri saya dan selepas ini biarlah keadilan yang menentukan kebenaran atas dakwaan itu," katanya sebelum meninggalkan balai polis kira-kira pukul 11 malam tadi.

Akhbar 9 Oktober lalu menyiarkan laporan seorang lelaki yang mendakwa dipukul sekumpulan lelaki termasuk seorang artis di pusat hiburan berkenaan pada pukul 7.30 malam.

Dalam kejadian itu, mangsa mendakwa mengalami lebam di mata dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

Mengulas lanjut, Awie memberitahu, dia akan hadir sekali lagi untuk memberi kenyataan tambahan kepada polis dalam masa terdekat bagi menyelesaikan kes tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob yang dihubungi mengesahkan kedatangan artis itu ke balai polis untuk diambil keterangan berhubung kes berkenaan.

"Awie sendiri dengan rela datang ke balai polis untuk memberi keterangan dan difahamkan dia ada program di sini jadi kesempatan itu diambil untuk tampil memberi keterangan," katanya.

Menurut Ayub, polis akan meneliti keterangan yang diberi oleh Awie dan pengadu sebelum perlu memanggil saksi-saksi lain bagi melengkapkan siasatan. - Utusan

No comments:

Post a Comment