07 October 2009

Keputusan permohonan bapa Nasha Aziz, Jumaat ini

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Jumaat ini untuk membuat keputusan berhubung permohonan peguam bapa kandung Nasha Aziz untuk memasukkan penghakiman selepas model dan pelakon terkenal itu gagal menghadiri perbicaraan kes saman terhadapnya hari ini.

Hakim Datuk Abdul Wahab Patail menetapkan demikian selepas beliau mendengar permohonan yang dikemukakan peguam M. Visvanathan yang mewakili plaintif Abdul Aziz Mohd. Ali, 61, seorang guru silat.

Terdahulunya dalam prosiding yang sama, Hakim Abdul Wahab telah menolak dengan kos permohonan yang dikemukakan oleh Visvanathan supaya perbicaraan kes saman plaintif hari ini digantung sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Menurut hakim itu, tiada keadaan istimewa untuk membenarkan

penggantungan prosiding. Tambahan pula, di bawah sistem yang baru sekarang mahkamah perlu mempercepatkan pelupusan kes, kata hakim.

Sebelum ini, Visvanathan telah mengemukakan rayuan di mahkamah berkenaan untuk merayu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 2 Mac lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zabariah Yusof membatalkan writ saman terhadap Utusan Melayu (M) Berhad dan wartawannya, Tengku Khalidah Tengku Bidin yang dinamanakan sebagai defendan kedua dan ketiga.

Sepanjang prosiding tersebut kelibat Nasha dan peguam yang direkodkan

mewakilinya daripada Tetuan Rashid Mokhtar & Co juga tidak kelihatan.

Peguam M. Reza Hassan hadir sebagai peguam pemerhati bagi Utusan Melayu dan Tengku Khalidah.

Abdul Aziz bertindak menyaman Nasha berhubung kenyataan defendan yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 24 Oktober 2004, artikel bertajuk `Jangan tanya hal peribadi'.

Plaintif mendakwa dalam artikel tersebut memfitnah dirinya kerana membawa maksud bahawa dia telah meninggal dunia dan plaintif bukannya ayah kandung defendan.

Perkataan-perkataan berbaur fitnah itu dakwa plaintif telah merosakkan reputasinya dan menyebabkan dirinya mengalami kesengsaraan dan malu yang keterlaluan.-utusan

No comments:

Post a Comment