SHAH ALAM 1 Okt. - Meskipun gaji bulanan Teoh Beng Hock hanya RM1,800, abang kepada mendiang mendakwa adiknya tidak mempunyai sebarang masalah kewangan sehingga menyebabkannya membunuh diri.
Teoh Meng Kee, 33, yang bekerja sebagai pengurus gudang memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa sepanjang pengetahuannya, mendiang tidak pernah mengadu mengenai masalah kewangan.
Meng Kee bagaimanapun memberitahu dia tidak tahu berapa gaji bulanan Beng Hock sejak adiknya bekerja dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.
Datuk Abdul Razak Musa yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum itu menimbulkan isu bahawa dengan gaji bulanan hanya RM1,800 dan wang simpanan tidak mencukupi, mendiang mempunyai masalah bagi menyegerakan perkahwinan setelah tunangnya hamil.
Dakwa Abdul Razak lagi, majlis makan malam perkahwinan mendiang sepatutnya berlangsung di sebuah restoran pada 3 Oktober ini dan ia memerlukan belanja yang besar sehinggakan RM20,000 pun kadangkala tidak mencukupi.
Namun menurut saksi inkues ke-24 itu, jumlah perbelanjaan perkahwinan bergantung kepada keadaan dan adakalanya kurang daripada jumlah itu tetapi mereka sekeluarga akan membantu mendiang.
Dia bagaimanapun mengakui adiknya membuat keputusan untuk menyegerakan perkahwinan memandangkan tunang mendiang, Soh Cher Wei sudah mengandung.
Menurut Meng Kee, Beng Hock ketika ditemui kali terakhir di Melaka pada 12 Julai sebelum ditemui mati di koridor tingkat lima, tidak ada berbincang sebarang masalah dengannya.
Meng Kee turut menegaskan tiada sebab bagi Beng Hock membunuh diri kerana mendiang bercadang mendaftar dan mengambil gambar perkahwinan pada hujung minggu berikutnya (antara 18 dan 19 Julai lalu).
Bagi Meng Kee, Beng Hock seorang yang suka membantu dan lazimnya jika mendiang mempunyai masalah dia akan berbincang dengan adik perempuan, Teoh Lee Lan, emak dan kakak sulung.
Sementara itu, Koroner Azmil Muntapha Abas turut mendengar keterangan rakan karib Beng Hock, Woo Chuan Seng, 30. Mendiang dan peniaga telefon bimbit itu menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai lalu selepas ditemu duga oleh pegawai SPRM di tingkat 14 plaza itu berhubung penyalahgunaan wang peruntukan ADUN Pakatan Rakyat di negeri tersebut. - Utusan
No comments:
Post a Comment