03 October 2009

Hujan air batu sebesar cawan bukan fenomena biasa

KUALA LUMPUR 2 Okt — Kejadian hujan air batu sebesar sebiji cawan di Jerantut, Pahang Isnin lepas bukan suatu fenomena biasa di negara beriklim Khatulistiwa, kata pegawai Kaji Cuaca Jabatan Alam Sekitar (JAS) Zureen Norhaizatul Che Hassan, hari ini.

Katanya, faktor iklim yang sentiasa panas dan hujan di negara yang berada dalam grid Khatulistiwa tidak memungkinkan berlakunya pembentukan ketulan ais sebesar itu di ruang atmosfera negara.

“Kita perlu kaji dengan teliti terlebih dulu kandungan air batu yang jatuh di Jerantut itu sebelum membuat sebarang andaian.

“Lebih penting, kita perlu berbalik kepada hujah dinamik fizik ... tak boleh pada hujah umum atau lebih tepat kita perlu melihat fizik awan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Petang Isnin lepas, hujan turun bersama air batu sebesar cawan sehingga merosakan bumbung rumah penduduk di kawasan berkenaan manakala banyak pokok dan tiang elektrik yang tumbang akibat ribut petir.

Zureen berkata, kejadian pukul 7 malam itu juga suatu yang mengejutkan walaupun Malaysia pernah mengalami hujan air batu sebesar wang syiling 50 sen.

Selain itu, jika adapun, ia tidak melebihi saiz wang syiling 5 sen, katanya sambil manambah hujan air batu adalah fenomena biasa yang terjadi di negara bersalji.

“Masa zaman kanak-kanak saya dulu, saya pernah beberapa kali bertembung dengan kejadian hujan air batu, tetapi tidaklah sebesar yang berlaku di Jerantut Pahang itupun, rasa teruja untuk memungut ketulan air batu tapi, sebelum sempat (ais) masuk dalam mulut, ia sudah cair kerana saiznya terlalu kecil,” katanya.

Ketika ditanya mungkin faktor iklim dan suhu mempengaruhi pembentukan air batu di awan, Zureen berkata ia sukar untuk diperkatakan kerana sejak 30 tahun lalu hujan masih dalam julat sama iaitu 2,000 hingga 5,000 mm setahun dan ia berbeza mengikut geografi sesebuah kawasan.

Selain itu juga katanya, bacaan hujan dan suhu di seluruh negara sentiasa berubah.

“Faktor pengaruh peralihan monsun dan tiupan angin panas dan sejuk La-nina dan Al-nino memang ada tempias tetap ia juga tidak boleh dijadikan kayu pengukur kepada perubahan iklim di negara ini sehingga mampu membentuk bungkah ais di ruang angkasa negara.

“Bungkah atau ketulan ais di udara biasanya berlaku di negara yang bersuhu di bawah 0 darjah Celsius dan hal seperti ini tidak mungkin berlaku di Malaysia yang merentangi garisan Khatulistiwa,” katanya.

Sementara itu, pejabat Meteorologi Pahang ketika dihubungi berkata kejadian itu ada kaitan dengan taufan Ketsana yang melanda Filipina dan mula memasuki luar pantai Vietnam yang kedudukannya berhampiran dengan Semenanjung Malaysia.

Katanya, ekor taufan berkenaan bertembung dengan aktiviti awan Kumulonimbus yang membawa hujan dan ribut petir pada ketinggian 6,000 dan 9,000 meter dari paras bumi menyebabkan air bertukar menjadi ais dengan saiz ketulan yang besar di atmosfera dan tidak sempat mencair apabila memasuki ruang udara.

“Lewat petang dan awal malam Isnin lepas empat kawasan Jerantut, Bera, Maran dan Rompin dilanda hujan dan ribut petir, bagaiamanapun hanya Jerantut yang menerima hujan air batu,” katanya.

— BERNAMA

No comments:

Post a Comment