03 October 2009

DUN Bagan Pinang: Persaingan satu lawan satu BN-PAS

PORT DICKSON: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang menyaksikan persaingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Perkara tersebut diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya Kecil, Abdul Wahab Shamsuddin selepas tempoh bantahan ditutup pada pukul 11 pagi tadi..

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya menerima dua borang setelah masa penyerahan borang pencalonan tamat pada pukul 10 pagi tadi.

Pada pilihan raya kecil tersebut, BN diwakili bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ketua Umno bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd Isa Samad, manakala PAS diwakili Pesuruhjaya PAS negeri, Zulkefly Mohd Omar.

Abdul Wahab berkata Mohd Isa menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 9.05 pagi manakala Zulkefly berbuat demikian seminit kemudian.

Katanya lagi sehingga tempoh bantahan ditutup, SPR menerima dua bantahan yang dikemukan terhadap pencalonan-pencaloan tersebut.

"Saya telah menerima sebanyak dua bantahan dikemukaan terhadap pencalonan-pencalonan tersebut... namun setelah masa bantahan ditutup, tiada calon yang ditolak kertas penamaannya," katanya.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya Azman Mohammad Nor yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH), awal bulan lalu.

Allahyarham yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan dengan memperolehi 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail. Beliau menang dengan majoriti 2,333 undi.

Dalam pada itu bercakap kepada media selepas pengumuman nama calon dibuat, Mohd Isa yang juga Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang berkata, beliau yakin pengundi di DUN Bagan Pinang akan memberi peluang kepadanya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

"Saya yakin akan dipilih sebagai wakil rakyat mereka... saya juga yakin masih mampu untuk menjalankan tanggungjawa sebagai wakil mereka.

"Saya bekas Menteri Besar di Negeri Sembilan, saya tahu masalah yang mereka hadapi bukan sahaja di Bagan Pinang malah Teluk Kemang dan Negeri Sembila amnya masih saya ingat... setelah saya terpilih, saya akan selesaikan dengan cara yang terbaik," katanya.

Ditanya bagaimana penerimaan pengundi di DUN Bagan Pinang terhadapnya, beliau berkata sokongan yang diberikan terhadapnya begitu menggalakkan.

"Nampaknya setakat ini sambutan begitu baik... cuma apa yang perlu kita berhati-hati ialah perbetulkan kekeliruan yang dicetuskan oleh pembangkang," katanya.

Sementara itu calon PAS, Zulkefly berkata beliu juga melahirkan keyakinan untuk menang pada pilihan raya kecil di DUN Bagan Pinang yang akan diadakan pada 11 Oktober ini.

"Semua pilihan raya ada pertandingan, kita ada peluang...kita yakin ada peluang untuk menang," katanya.

Malah beliau juga berkeyakinan bahawa gabungan Pakatan Rakyat yang terdiri PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memberi kelebihan kepadanya.

"Kita dalam Pakatan masih yakin rakyat masih bersama dengan kita," katanya.

No comments:

Post a Comment