ISU hukuman sebat yang dikenakan ke atas model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno masih hangat diperbincangkan dan mendapat liputan meluas media.
'Kewajaran' hukuman ke atas Kartika yang disifatkan sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan dipersoalkan. Malah, beberapa pihak meminta ibu muda yang juga model sambilan yang sudah insaf atas kesalahannya meminum arak di tempat awam dan rela pula menghadapi hukuman tersebut, merayu untuk mengelakkan hukuman.
Ramai tokoh politik dan NGO memberi pandangan mereka tentang 'kewajaran' hukuman tersebut.
Bagi pakar ilmu hadis yang juga mantan Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin, berkata, “sebahagian masyarakat Malaysia terkeliru mengenai gambaran hukum sebat Islam disebab beberapa faktor.
"Salah satunya, filem P. Ramlee iaitu ‘Semerah Padi’. Di samping wujudnya unsur-unsur positif dalam filem berkenaan, tetapi cara hukuman Islam digambarkan amat tidak serasi dengan hakikat hukum tersebut. Cara kes dibicarakan, sehingga hukuman dijalankan menggambarkan hukuman sebat dan beberapa perkara lain kelihatan rakus dan kejam," kata Dr Asri.
Kata Dr Asri lagi, hukuman sebat dalam Islam tidak sampai mencederakan sedemikian rupa. Gambaran inilah yang ada dalam pemikiran sesetengah masyarakat, samada yang pro atau kontra, lalu beberapa tafsiran salah dibuat terhadap hukum-hakam jenayah peribadi tanpa menyentuh hak individu lain seperti zina dan minum arak.
"Berbeza dengan jenayah yang membabitkan ancaman kepada hak individu lain atau keselamatan awam seperti mencuri, merompak, membunuh, merogol dan yang seumpamanya. Jenayah peribadi seperti zina dan arak pendekatan Islam amat lunak dan membuka ruang pelepasan dan cuba menutup ruang pendedahan," jelas Dr Asri.
Menurut Dr Asri, "Sebatannya juga tidak mencederakan, bahkan pada zaman Nabi s.a.w ada yang hanya disebat menggunakan kain sahaja. Bukan untuk mencedera dan memusnahkan, tetapi sekadar peringatan dan pengajaran."
Filem ‘Semerah Padi’, kata tokoh agama yang disegani itu, memberikan gambaran yang sebaliknya. Maka, walaupun filem ini telah lama, dalam suasana sekarang, hal ini perlu diingatkan.
Ketika diminta mengulas lanjut, Dr Asri berkata, pertamanya kita hendaklah jelas bahawa tiada siapa pun di kalangan mereka yang benar-benar muslim boleh mempertikaikan tentang 'haramnya' meminum arak bagi seorang muslim. Ini perkara yang disepakati. Kita tidak boleh berbeza dalam hal ini.
"Namun apabila tiba kepada persoalan menghukum 'peminum arak', di sini mungkin akan ada sedikit pandangan dan perbincangan yang mungkin akan timbul perbezaan pendapat.
"Perbezaan itu mempunyai banyak faktor, antaranya faktor hukum itu sendiri di mana di kalangan sarjana Islam itu berbeza pendapat tentang statusnya. Kedua, faktor persekitaran atau realiti semasa yang kita hadapi sekarang," kata Dr Asri.
Mereka berbeza pendapat, apakah hukuman sebat yang pernah disebutkan dalam hadis-hadis Nabi SAW dan juga sejarah pelaksanaannya di zaman al-Khulafa al-Rasyidin dimasukkan dalam kategori hudud atau sekadar ta'zir (discretionary punishment).
Menurut Dr Asri, walaupun ramai yang berpendapat kesalahan minum arak di bawah hudud, mereka berbeza pendapat pula tentang jumlah sebatan. Ini kerana al-Quran tidak menyebut hukumannya, cuma hadis ada menunjukkan dipukul empat puluh kali.
Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab r.a. beliau berbincang kadar hukuman tersebut, lalu beliau menerima pandangan `Abd Rahman bin al-`Auf untuk melaksanakannya sebanyak lapan puluh kali.
Lebih daripada itu, dalam hadis menunjukkan pesalah minum arak ada yang dipukul dengan tangan, kain, dan selipar sahaja. Tiada ketegasan yang jelas dalam kaedah pukulan.
"Jika ia dianggap bukan hudud, sebaliknya sekadar takzir, maka kadar hukuman takzir boleh diputuskan oleh pemerintah. Jika diputuskan enam rotan pun, itu ijtihad atau pandangan pemerintah atau hakim yang boleh dinilai di segi prinsip umum takzir.
"Maka pandangan beberapa tokoh agama bahawa Kartika patut disebatkan empat puluh atau lapan puluh rotan, jika tidak hukuman tersebut tiada maknanya, pada saya itu pandangan mereka agak terhad tentang persoalan ini," kata Dr Asri.
Ada yang bertanya kepada Dr Asri, mengapakah peminum arak sahaja dihukum, sedangkan taukeh-taukeh arak yang beragama Islam dibiarkan? Sedangkan mereka ini ada memakai gelaran yang hebat-hebat dan 'disembah hormat' oleh rakyat.
Sedang kita tahu di sana ada berbagai pihak luar cuba mengambil kesempatan seperti CNN untuk menyatakan adanya diskriminasi terhadap wanita dalam masyarakat Islam. Ini memberi ruang kepada mereka.
"Saya setuju, bahkan menyokong segala hasrat untuk menguatkuasakan undang-undang syariah, tetapi hendaklah secara menyeluruh dan memberikan impak yang positif kepada Islam. Suasana semasa dan mentaliti masyarakat hari ini hendaklah diambil kira.
"Isu Kartika baik sebagai satu usaha. Apatahlagi Kartika sendiri bersetuju dan rela. Namun, suasana semasa kurang berpihak kepada Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan. Bukan kesalahan pihak mahkamah, tetapi nilai agama dan pemikiran masyarakat yang bermasalah," jelas Dr Asri. - Mstar
No comments:
Post a Comment