30 October 2009

Di sebalik tabir mesyuarat PAS

Tindakan mengheret PAS Selangor ke depan jawatankuasa disiplinnya belum dapat meredakan konflik dalaman apabila komen-komen negatif berhubung perjalanan mesyuarat khas parti itu kelmarin mula tersebar.

Beberapa blog yang mengamat perkembangan PAS menggambarkan seolah-olah terdapat sesuatu yang tidak kena dalam mesyuarat panjang sehingga jam 1 pagi jawatankuasa pusat dan barisan pesuruhjaya negerinya.

Penulis politik Mohd Sayuti Omar berkata mesyuarat khas PAS itu memberikan fokus kepada exco kerajaan Selangor, yang juga pesuruhjaya PAS negeri Datuk Dr Hassan Ali.

Katanya, ada cadangan meminta Dr Hasan dipecat daripada jawatan mengetuai PAS negeri dan juga exco hal-ehwal Islam negeri itu.

"Alasannya kerana terlibat untuk mengadakan pakatan dengan Umno.

"Bagaimanapun (presiden PAS Datuk Seri) Abdul Hadi (Awang) dikatakan telah mempertahankan Dr Hassan dengan meminta agar tuduhan itu disiasat," tulisnya di blog peribadi Tinta Merah sejurus selepas tamat mesyuarat itu.

"Alasan Abdul Hadi, kalau ada tuduhan, penyiasatan perlu dilakukan.

"Sehubungan itu jawatankuasa disiplin PAS yang diketuai (Datuk) Tuan Ibrahim Tuan Man akan menjalankan siasatan ke atas Dr Hassan bersama ahli jawatankuasanya."

Sementara blog Malaysian Waves pula mendakwa 75 peratus ahli mesyuarat pada malam itu mahukan Dr Hassan digugurkan daripada jawatan pesuruhjaya PAS Selangor.

"Namun, permintaan majoriti ahli jawatankuasa pusat PAS ditolak begitu sahaja dan dibuat pengumuman bahawa keseluruhan PAS Selangor akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin," tulis Tulang Besi, penulis blog yang sering mendedahkan konflik dalaman parti.

"Keputusan yang diumumkan oleh Tuan Guru Presiden malam tadi bukan keputusan yang dipersetujui oleh para ahli jawatankuasa pusat PAS.

"75 peratus daripada keseluruhan ahli jawatankuasa yang hadir bercakap dan hanya Cikgu Pa (setiausaha agung, Datuk Mustafa Ali) serta Datuk Abu Bakar Chik sahaja yang menyokong Dr Hassan.

"Yang lebih menyedihkan apabila Tok Guru (mursyidul am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) yang membentangkan tulisan beliau dalam blog beliau jelas tidak mahu berganjak daripada apa yang dituliskan oleh beliau.

"Yakni, jelas beliau mahu ketiga-tiga yang dinamakan dalam blog beliau dibuang."

Selain Dr Hassan dan Mustafa, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa juga disebut di Blog Tok Guru yang dianggap antara "beberapa kerat pemimpin bermasalah "

Malaysiakini sedang mendapat penjelasan daripada beberapa sumber dalaman PAS berhubung dakwaan-dakwaan di blog tersebut. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment