26 October 2009

Baghdad berdarah lagi, 132 maut

BAGHDAD 25 Okt. - Sekurang- kurangnya 132 orang terbunuh dan 600 lagi cedera dalam dua letupan bom kereta dekat dua bangunan kerajaan termasuk Kementerian Kehakiman di tengah ibu negara Iraq ini, hari ini.

Serangan tersebut adalah yang paling dahsyat di Baghdad dalam tempoh beberapa bulan.

Dua letupan kuat itu menggegarkan bangunan dan mencetuskan kepulan asap tebal dari tempat kejadian dekat Sungai Dajlah (Tigris) di tengah Baghdad.

Letupan pertama ditujukan ke atas Kementerian Kehakiman, manakala letupan kedua beberapa minit kemudian disasarkan terhadap bangunan kerajaan wilayah, menurut polis.

Sumber polis berkata, letupan-letupan itu angkara pengebom berani mati yang memandu kereta yang sarat dengan bahan letupan menuju ke kawasan berdekatan bangunan-bangunan sasaran.

Saksi melaporkan sekurang-kurangnya 13 mayat kelihatan di salah satu tempat kejadian termasuk di dalam kereta yang rentung.

Pasukan bomba menyemburkan air untuk memadamkan kebakaran kereta dan mengeluarkan mayat.

Keganasan telah berkurangan di Iraq, sejak ketua-ketua kabilah yang disokong oleh tentera Amerika Syarikat (AS) membantu mengusir militan al-Qaeda dan Washington menempatkan askar tambahan.

Namun, serangan masih menjadi perkara biasa di negara yang masih bergelut untuk pulih selepas berdekad-dekad dilanda sengketa, peperangan dan dikenakan sekatan.

Pada Ogos lalu, letupan-letupan dekat beberapa bangunan kementerian meragut hampir 100 nyawa dan mencederakan beratus-ratus lagi dalam hari paling berdarah di Iraq pada tahun ini.

Berikutan keganasan itu, pasukan keselamatan Iraq mengakui kelalaian mereka. - Reuters

No comments:

Post a Comment