PORT DICKSON: Proses pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang hari ini tercalar apabila berlakunya pergaduhan antara penyokong Barisan Nasional (BN) dan PAS.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata beliau kesal dengan sikap penyokong-penyokong berkenaan hingga mencetuskan kekecohan.
"Saya kesal dengan apa yang berlaku, mereka (penyokong dan peraih undi) masih tidak faham dengan larangan yang dikeluarkan oleh SPR supaya tidak hadir pada hari pengundian.
"Kehadiran mereka hanya untuk membuat kacau, tapi bila kita larang mereka degil, bila kedua-dua pihak dah duduk bertentang mula lah pergaduhan macam apa yang berlaku..Saya kesal lah," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11 pagi tadi, penyokong BN dan PAS masing-masing membaling botol dan kayu ke arah penyokong parti lawan.
Ekoran kejadian itu, dua orang penyokong masing-masing daripada PAS dan BN telah ditahan oleh pihak polis.
Menurut Abdul Aziz lagi, beliau berharap kumpulan penyokong berkenaan tidak mencetuskan kekecohan sehingga menggangu pengundi untuk keluar mengundi.
"Bagi SPR, kita harap pengundi tidak takut untuk keluar mengundi, pihak polis akan memastikan keadaan terus terkawal," katanya. - Mstar
No comments:
Post a Comment