Setelah ditangguhkan kelmarin, perbicaraan terhadap lapan aktivis pelajar Universiti Malaya (UM) yang dituduh membawa masuk dua ahli politik pembangkang ditetapkan Selasa depan.
Kali ini, prosiding melibatkan anggota dan pemimpin Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) dan Persatuan Bahasa Cina UM (PBCUM) itu akan berjalan di fakulti kejuruteraan universiti itu pada jam 10.30 pagi.
Muhammad Haafizuddin Abererah dan Abu Ubaidah Amir Abdul Malik dituduh membenarkan setiausaha kepada menteri besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad melibatkan diri dalam aktiviti pertubuhan itu.
Pada 16 Mac lalu, Nik Nazmi menyampaikan ucapan perasmian mesyuarat agung persatuan tersebut selepas diseludup masuk ke kampus dengan motosikal seorang mahasiswa setelah kenderaannya dihalang.
Manakala enam aktivis PBCUM – yang enggan nama mereka didedahkan – dituduh mengundang exco kanan Selangor, Teresa Kok dan ahli jawatankuasa pusat MCA Wong Nai Chee mengadili satu program debat, bulan lalu.
Aktivis-aktivis PBCUM itu terlibat menganjurkan pertandingan debat dalam bahasa Cina berjudul 'Antara Pakatan Rakyat dan BN: Yang Mana Lebih Menggelisahkan?'
Dua lagi pemimpin politik - wakil rakyat DAP Teoh Nie Ching dan seorang pemimpin MCA Selangor, Victor Gu - pula terlibat pendebat di acara itu yang dihadiri kira-kira 1,000 orang.
Notis terbaru bertarikh 13 Oktober kepada kelapan-lapan pelajar terlibat dikeluarkan oleh sekretariat jawatankuasa tatatertib pelajar UM.
Jika dibuktikan bersalah, mereka masing-masing boleh dikenakan tindakan, antaranya diberi amaran keras, denda tidak melebihi RM200, digantung atau dipecat daripada universiti berkenaan.
Jika gagal hadir ke perbicaraan tersebut, mereka boleh dikenakan tindakan penggantungan serta-merta.
Muhammad Haafizuddin dan Abu Ubaidah ketika dihubungi Malaysiakini hari ini berkata, mereka akan terus berjuang mempertahankan diri kerana mengaku tidak bersalah.
Isnin lalu, kelapan-lapan pemimpin tersebut dilaporkan kecewa setelah perbicaraan itu ditangguhkan mendadak setelah lebih sejam menunggu.
Sementara itu, Nik Nazmi pula menyindir UM – yang diiktiraf kembali sebagai sebuah daripada 200 universiti terbaik di dunia – ekoran tindakan disiplin tersebut.
“Adalah menjadi sesuatu yang merugikan bagi sebuah universiti seperti UM yang diterima kembali sebagai salah sebuah 200 universiti terbaik dunia dalam senarai pendidikan tinggi Times berkelakuan seperti ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau, juga ADUN Seri Setia, menggesa UM menarik balik pertuduhan terhadap semua pelajar dan meminta Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin campur tangan dalam isu tersebut. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment