05 September 2009

Tembak ala mafia

SHAH ALAM: Bagaikan aksi dalam filem, empat perompak bersenjatakan pistol berlagak mafia dengan menyerang hendap empat pekerja syarikat pengurup wang sambil melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah kenderaan pacuan empat roda dinaiki petugas terbabit dari jarak dekat.

Tindakan spontan perompak yang menaiki dua motosikal itu bukan saja menyebabkan mangsa tergamam, malah menarik perhatian orang ramai yang ketika itu terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari semalam, penjenayah yang dipercayai mengekori mangsa mengambil kesempatan ketika kesesakan lalu lintas untuk melakukan rompakan nekad itu.

Kumpulan itu yang disifatkan berbahaya, didakwa langsung tidak menghiraukan pengguna jalan raya yang memerhatikan gerak-geri mereka sebelum melepaskan empat das tembakan ke arah kenderaan pacuan empat roda dinaiki mangsa.

Dua daripada mangsa cedera di bahu dan betis terkena tembakan rambang itu.

Dalam kejadian yang mengambil masa hanya beberapa minit itu, perompak melarikan wang tunai RM350,000 daripada pekerja syarikat tukaran wang asing terbabit sebaik kenderaan dinaiki mangsa berhenti akibat tembakan itu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin, berkata dalam kejadian rompakan nekad itu, kenderaan dinaiki mangsa dihimpit penunggang dua motosikal di kiri dan kanan ketika mereka melalui bulatan berhampiran Persiaran Kayangan di sini.

“Penunggang kedua-dua motosikal berkenaan melepaskan empat das tembakan ke arah kenderaan mangsa.

“Ketika itu, jalan terbabit sesak dengan kenderaan, tapi penjenayah terus melepaskan tembakan dan mengenai bahu kanan pemandu dan betis kiri penumpang bahagian depan,” katanya.

Bagaimanapun, dua lagi rakan pekerja pengurup wang terbabit hanya cedera ringan terkena kaca tingkap yang pecah ditembak suspek.

Kedua-dua mangsa berusia 30 dan 47 tahun kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan dilaporkan stabil.

Khaw berkata, polis sedang mengenal pasti jenis senjata api digunakan, tetapi percaya kumpulan penjenayah terbabit menggunakan senjata berkaliber .38.

“Sebelum kejadian, semua mangsa keluar dari Jalan Masjid India di Kuala Lumpur untuk ke Shah Alam bagi mengagih wang di cawangan syarikat pengurup itu.

“Polis sedang melakukan siasatan berkemungkinan mangsa diekori sejak meninggalkan Jalan Masjid India atau penjenayah menunggu di tepi jalan sehingga mangsa melalui jalan itu,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Siasatan Jenayah Shah Alam, Deputi Superintendan Kamaruddin Ismail, bagi membantu siasatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. - Mymetro

* Tidak lama lagi mereka merompak dalam balai polis pula.

No comments:

Post a Comment