26 September 2009

Polis tahan tujuh lelaki disyaki belasah penagih sehingga maut

KUALA TERENGGANU- Polis menahan tujuh lelaki yang disyaki membelasah seorang penagih dadah sehingga mati selepas penagih itu dipercayai mencuri, di Kampung Alor Tembesu di Dungun awal pagi semalam.

Ketua Polis Terengganu ACP Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata antara yang ditahan bagi membantu siasatan dalam kes itu ialah pelatih polis, anggota tentera, anggota polis bantuan Petronas, dan penuntut institusi pengajian awam.

Beliau berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 2.30 pagi semasa seorang pelatih konstabel dari Pusat latihan Polis (Pulapol) pergi kerumah ibu angkatnya di Kampung Sura Gate, Dungun bersama sekumpulan rakan-rakannya.

"Apabila tiba mereka ternampak seorang lelaki berumur 24 tahun di luar rumah itu dalam keadaan mencurigakan, dan mereka mengesyaki dia adalah pencuri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya kumpulan lelaki itu kemudiannya mengejar penagih berkenaan sehingga ke Kampung Alor Tembesu, kira-kira 170 meter dari Kampung Sura Gate, dan membelasahnya.

Mohd Shukri berkata akibat dibelasah, lelaki itu pengsan selepas mengalami kecederaan parah di kepala, mulut serta calar-calar di bahagian perut, dan dia meninggal dunia pada kira-kira pukul 6 petang semasa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

"Bedah siasat mendapati lelaki yang berasal dari Kampung Alor Tembesu itu meninggal dunia akibat keretakan serius di tempurung kepala," katanya.

Beliau berkata semua suspek yang berumur antara 20 dan 25 tahun dari Dungun itu ditahan reman selama enam hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Katanya polis masih mencari seorang lagi lelaki yang sudah dikenal pasti identitinya untuk membantu siasatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment