02 September 2009

Polis tahan 3 ADUN pembangkang

IPOH 2 Sept — Tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak daripada pembangkang ditahan selepas berlaku kekecohan ketika polis berusaha menghalang sekumpulan Adun pembangkang daripada cubaan mengadakan “persidangan"

DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Mereka yang ditahan ialah Adun Sitiawan Datuk Ngeh Koo Ham yang juga Pengerusi DAP Perak, Adun Malim Nawar, Keshvinder Singh (DAP) dan Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai (PKR).

Polis semalam memperoleh perintah mahkamah yang melarang orang ramai daripada berada dalam lingkungan 30 meter dari pagar Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Perintah itu diperoleh bagi mencegah perhimpunan haram ekoran notis oleh bekas Speaker V.Sivakumar baru-baru ini memanggil “Sidang Dewan Undangan Negeri Perak” untuk dilangsungkan hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah semalam memberi amaran bahawa polis akan mengambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang terhadap sebarang perhimpunan haram di kawasan itu.

Bagaimanapun, perintah larangan dan amaran polis itu tidak diendahkan apabila pagi ini Sivakumar bersama bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada Pas dan 25 Adun yang lain berjalan beramai-ramai dari ibu pejabat DAP Perak di Medan Istana menuju ke Bangunan Perak Darul Ridzuan untuk mengadakan “sidang DUN” itu.

Kira-kira 200 meter dari pagar bangunan itu mereka telah disekat oleh polis dan berlaku kekecohan apabila kumpulan Adun berkenaan bertegas menyatakan bahawa perintah mahkmah yang diperoleh polis semalam tidak melibatkan Adun.

Ketua Polis Daerah ACP Azisman Alias mengarahkan mereka supaya beredar dari kawasan itu kerana keadaan menjadi semakin tegang apabila sekumpulan lelaki tiba di situ sambil melaungkan “Daulat Tuanku”. Pada 10.30 pagi, Nizar dan Adun yang lain kembali ke ibu pejabat DAP untuk mengadakan sidang akhbar dan beliau mengumumkan bahawa sidang dewan akan diadakan di Hotel Heritage di sini pada 11.30 pagi ini.

Menurut Nizar, yang juga Adun Pasir Panjang, persidangan dewan perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas persidangan yang lepas iaitu pada 3 Mac.

Seorang lagi Adun pembangkang, Khalil Idham Lim (Pas-Titi Serong) sedang menunaikan umrah.

Suasana di perkarangan ibu pejabat DAP kembali tenang pada kira-kira 11 pagi apabila kumpulan Adun pembangkang itu mula beredar diikuti oleh kira-kira 100 penyokong yang berhimpun di situ.

— BERNAMA

No comments:

Post a Comment