27 September 2009

Penyamun pulangkan wang, barang kemas RM14,000

ALOR SETAR - Seorang peniaga runcit lega apabila wang tunai dan barang kemas isterinya bernilai kira-kira RM14,000 yang dilarikan penyamun dipulangkan semula selepas sejam kedainya di Pasar Besar di sini disamun semalam.

Sebelum itu, pada pukul 8.30 pagi, Mohd. Fauzi Syarif, 50, telah mengejar penyamun itu hampir satu kilometer di sekitar pasar itu bagi mendapatkan balik wang hasil perniagaannya selama empat hari.

Bagaimanapun, dia gagal menangkap penyamun berkenaan kerana berjaya melarikan diri dengan menggunakan kereta yang menunggu di luar pasar.

Namun, nasib masih menyebelahi Fauzi apabila sejam selepas itu, dia terlihat beg tangan isterinya yang dilarikan itu 'tersadai' di dalam pasar beberapa meter dari kedainya.

"Penyamun lelaki itu pada mulanya menyamar sebagai pembeli dan apabila saya dan isteri sibuk melayan pelanggan, dia masuk ke dalam kedai dan mengambil beg tangan isteri di kaunter," ujarnya.

Fauzi yang juga Pengerusi Pasar Besar Alor Setar berkata, penyamun itu hanya mengambil wang tunai RM1,000 selain buku bank dan kad insurans.

"Kejadian ini kali pertama berlaku di kedai saya dan saya syak penyamun itu warga Indonesia melalui cara dia bercakap ketika berpura-pura hendak membeli barang," jelasnya. - Kosmo

No comments:

Post a Comment