15 September 2009

Penculik Dugard dibenar bebas dengan ikat jamin AS$30 juta

SAN FRANCISCO 14 Sept. - Perogol warga Amerika Syarikat (AS) yang didapati bersalah menculik seorang kanak-kanak perempuan dan `menyimpannya` selama 18 tahun telah diarah diikat jamin sebanyak AS$30 juta (RM108 juta) hari ini selain perlu menjalani rawatan psikiatrik.

Phillip Garrido telah didapati bersalah kerana melarikan Jaycee Lee Dugard pada tahun 1991 semasa beliau berumur 11 tahun dan menjadikannya tahanan selama 18 tahun di sebuah kawasan tersorok di belakang rumahnya.

Peguam Wilayah El Dorado, Vern Pierson selepas perbicaraan di Placerville berkata, walaupun Garrido mampu mengumpul wang berjuta-juta dolar untuk ikat jamin itu, beliau tidak akan dibebaskan kerana telah mencabuli parol yang diberikan untuk jenayah terdahulu.

Isteri Garrido, Nancy bagaimanapun ditahan tanpa ikat jamin.

Pasangan itu mengaku tidak bersalah terhadap 29 jenayah termasuk menculik, merogol dan memberikan keterangan palsu dan ditahan di penjara wilayah El Dorado di timur laut California.

Mereka dituduh melarikan Dugard daripada pondok menunggu bas 18 tahun lalu dan menyorokkan beliau di belakang rumah mereka di Antioch kira-kira 200 kilometer dari rumah mangsa. - AFP

No comments:

Post a Comment