29 September 2009

Lelaki menyamar pegawai polis cuba cairkan aset Datuk

PULAU PINANG 29 Sept. — Polis sedang mencari seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dan menipu pengurus sebuah bank bagi mencairkan aset bernilai RM2.3 juta milik seorang Datuk yang ditahan berhubung kes pengedaran dadah Julai lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu pergi ke sebuah bank di Jelutong di sini dan menyamar sebagai Cif Inspektor dari Bukit Aman sebelum menyerahkan surat arahan bagi mencairkan aset Datuk terbabit.

Katanya, lelaki itu menyerahkan surat arahan yang didakwanya daripada bahagian Narkotik Bukit Aman supaya bank itu mencairkan aset milik Datuk berusia 40-an yang dibekukan sejak ditahan berhubung kes pengedaran dadah.

Beliau berkata, lelaki terbabit juga meninggalkan kad nama yang didakwanya milik pegawai atasannya berpangkat ACP di bahagian Narkotik Bukit Aman.

Roslee berkata, pengurus bank berkenaan bertindak menghubungi bahagian Narkotik Bukit Aman bagi mendapatkan kepastian mengenai arahan pencairan aset itu dan dimaklumkan tiada sebarang arahan dikeluarkan untuk tujuan berkenaan.

Pada 29 Julai lepas, lelaki bergelar Datuk itu bersama enam lelaki lain ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan kira-kira sejuta pil eramin 5 bernilai RM20 juta yang dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Sungai Dua di sini.

Dalam serbuan itu, polis turut menyita pelbagai barangan milik mereka antaranya tujuh buah kenderan, wang tunai pelbagai mata wang, barang kemas, barangan elektrik dan jam tangan mewah yang kesemuanya bernilai RM3.5 juta.-Bernama

No comments:

Post a Comment