22 September 2009

Khir Toyo: Isu Selcat bukti wujud rebutan kuasa antara MB, Speaker

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Selangor terus mempertikaikan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) sambil menyifatkan isu terbaru yang menyelubungi badan itu sebagai bukti wujudnya perebutan kuasa antara Menteri Besar dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu, BN Selangor juga akan memfailkan kes mempertikaikan status Selcat dan undang-undang DUN yang melarang mana-mana wakil rakyat mempersoalkan Selcat.

Kes akan difailkan awal bulan depan, kata Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang kini memainkan peranan sebagai Ketua Pembangkang di DUN Selangor.

"Saya akan mencabar... BN akan mengambil tindakan mahkamah mencabar status Selcat dan undang-undang yang melarang mana-mana anggota DUN membuat kenyataan mengenai Selcat," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang.

Kata beliau, kontroversi di belakang isu Selcat menunjukkan wujudnya "perebutan kuasa dalam kerajaan negeri."

"Saya melihat Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim) tidak boleh buat apa-apa. Speaker (Teng Chang Khim) memiliki kuasa yang lebih besar berbanding Menteri Besar," kata bekas Menteri Besar ini ketika dihubungi mStar Online.

Selaku Speaker, Teng juga mempengerusikan Selcat.

Sehubungan itu, Dr. Khir menambah, Selcat digunakan sebagai "instrumen kuasa politik, bukannya untuk memperbaiki pengurusan kerajaan negeri."

"Ia lebih merupakan instrumen politik," katanya.

Dr. Khir mendakwa pegawai-pegawai kanan kerajaan telah mengadakan pertemuan dengan Khalid dan para Exco Kerajaan Negeri Selangor, tetapi Menteri Besar itu tidak berupaya untuk melakukan apa-apa bagi menyelesaikan isu di sebalik perjalanan Selcat.

Sehubungan itu, Dr. Khir juga memberitahu, beliau turut bersetuju agar kedua-dua wakil BN yang menganggotai Selcat, yang ditubuhkan tahun lalu oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat, agar keluar daripada jawatankuasa tersebut.

Beliau, yang telah dikenakan hukuman penggantungan daripada menghadiri DUN berpendapat, langkah itu sesuai lebih-lebih lagi apabila perjalanan Selcat turut dipertikaikan oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Semalam, salah seorang wakil BN dalam Selcat, Ismail Sani memberitahu mStar Online bahawa beliau sedang mempertimbangkan kemungkinan tersebut.

Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua memberitahu, rakannya, Sulaiman Abdul Razak iaitu wakil rakyat BN kawasan Permatang juga mempunyai pendirian yang sama.

"Saya akan membincangkan dengan lanjut bersama Datuk Seri Dr. Mohammad Khir Toyo selaku Ketua Pembangkang sebelum mengumumkan pendirian muktamad," kata beliau.

Beliau mempertimbangkan perkara ini selepas mendapati tiada apa-apa keperluan untuk menganggotai Selcat.

Jawatankuasa itu akan bertemu semula selama lima hari mulai 21 Oktober ini.

Selcat ditubuhkan oleh DUN Selangor selepas pilihan raya umum Mac 2008 untuk memantau selia dan memeriksa keupayaan, kebertanggungjawab dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Selain kedua-dua ADUN itu, anggota Selcat terdiri daripada Haniza Mohd. Talha (PKR-Taman Medan), Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Shaari Sungib (PAS-Hulu Klang) dan Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing).

Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan DUN Selangor telah menggantung Dr. Khir daripada menghadiri sidang DUN selama setahun.

Tindakan itu diambil ekoran kegagalan beliau menghadiri siasatan Selcat Selangor Mac lalu berhubung perbelanjaan dana agensi kerajaan negeri.

Jawatankuasa juga mendapati beliau bersalah terhadap tiga tuduhan membuat kenyataan yang menghina legitimasi Selcat, dalam media dalam dalam blognya.

SELCAT DIKRITIK

Perjalanan Selcat kini dikritik dengan pegawai-pegawai daerah yang dipanggil memberi keterangan mendakwa mereka dilayan seperti penjenayah dan perlu menjawab soalan mengikut kehendak jawatankuasa itu.

Kelmarin, Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin) menyifatkan Selcat tidak mencerminkan proses siasatan sebenar kerana lebih menjurus kepada serangan peribadi selain menjejaskan imej serta kredibiliti diri beliau sebagai penjawat awam.

Beliau adalah antara sembilan Pegawai Daerah di Selangor yang dipanggil memberi keterangan pada 9 September lalu.

Bakhtiar mendakwa siasatan yang diketuai oleh Teng dilakukan dalam suasana tegang dan tidak berhemah.

Kelmarin, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Hasan Ali melahirkan pandangan yang serupa sambil menjelaskan beliau bersimpati dengan pegawai-pegawai kanan berkenaan.

Malah, Hasan yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor mengesyorkan agar keanggotaan Selcat tidak hanya dihadkan kepada ahli-ahli politik semata-mata, sebaliknya dilantik kalangan bekas hakim dan bekas pegawai kanan kerajaan.

Kini ketujuh-tujuh wakil itu adalah ADUN di negeri Selangor.

Bagaimanapun Teng dan Khalid dalam reaksi segera mereka kelmarin mempertahankan penubuhan Selcat.

KHIR DESAK SELCAT DIROMBAK

Mengulas lanjut, Dr. Khir memberitahu mStar Online bahawa beliau juga mahu keanggotaan dalam Selcat dibuka kepada "mereka yang berpengalaman", bukannya ahli-ahli politik semata-mata.

Dr. Khir mengulangi bahawa cara Selcat menyoal pegawai awam negeri berhubung peruntukan ADUN sebelum ini akan menimbulkan krisis dalam pentadbiran negeri.

Katanya, krisis melibatkan moral serta persepsi kakitangan awam itu akan tercetus kerana Selcat dianggotai oleh mereka yang kurang arif mengenai prosedur pentadbiran kerajaan negeri. - Mstar

* Menggelabah Khir, satu demi satu penyelewengan UmnoBN Selangor dibongkar Selcat.

No comments:

Post a Comment