23 September 2009

Jurugambar Nanyang rugi RM20,000 kamera dicuri

MELAKA: Seorang jurugambar akhbar Nanyang Siang Pau Sdn Bhd kerugian RM20,000 selepas keretanya dipecah masuk pencuri yang melarikan kamera Nikon dan pelbagai barangan kamera miliknya, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, Sio Hock Guan, 46, baru saja meletakkan kereta MyVi miliknya di tempat letak kereta di pejabat akhbar itu beralamat di Jalan Tun Ali, dekat sini sebelum naik ke pejabat untuk menghantar gambar tugasan pada sebelah pagi.

Menurut Sio, kejadian berlaku begitu pantas dan disedari seorang pelajar sekolah yang menjalani latihan di pejabat akhbarnya.

“Kurang lima minit selepas naik ke pejabat untuk memproses gambar tugasan lawatan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Paya Mengkuang, Kuala Linggi, seorang pelatih yang duduk di bilik belakang masuk ke bilik utama dan memberitahu bahawa kereta saya ada masalah.

“Dia tidak pasti masalah apa, tetapi melihat kereta Perodua Kanci berhenti di tepi kereta saya. Kebetulan cermin di bilik berkenaan lutsinar dan boleh melihat pemandangan di luar.

“Pelatih itu beritahu dia nampak orang di dalam kereta itu menundukkan muka selepas perasan dia diperhatikan,” katanya.

Sio berkata, dia dan lima wartawan ke luar dan melihat kereta Kancil berwarna merah ke luar dari kawasan meletak kenderaan di hadapan pejabatnya.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa. Sebaik melihat kami keluar dari pejabat, kereta Kancil itu terus memecut laju.

“Saya dan rakan-rakan terus ke kereta dan terkejut melihat cermin tempat duduk belakang sebelah kiri pecah dan kaca bertaburan di tempat duduk,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah.

Menurut Sio, kejadian itu pertama kali berlaku dan berharap polis meningkatkan rondaan memandangkan keadaan sunyi kerana masih ada pejabat ditutup kerana cuti hari raya.

Difahamkan tahun lalu, akhbar terbabit turut dipecah masuk. - Mymetro

No comments:

Post a Comment