09 September 2009

Inkues: Saksi dakwa didera SPRM beri keterangan esok

SHAH ALAM 8 Sept. - Prosiding inkues bagi menyiasat kematian setiausaha politik exco Selangor, Teoh Beng Hock akan mendengar esok buat pertama kali keterangan seorang saksi yang mendakwa pernah menjadi mangsa penderaan fizikal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Saksi itu yang masih dirahsiakan identitinya akan dipanggil bagi memberikan keterangan berhubung laporan polis yang dibuatnya tahun lalu terhadap beberapa pegawai suruhanjaya itu yang didakwa telah menampar, menyepak dan memukulnya sehingga mengalami kecederaan ketika disoal siasat.

Koroner Azmil Muntapha Abas hari ini memutuskan laporan polis yang dibuat pada 11 September tahun lalu oleh pengadu tersebut adalah relevan bagi membantu mahkamah menentukan punca kematian Teoh.

Gobind Singh Deo, peguam bagi keluarga Teoh, memberitahu mahkamah beliau akan memanggil pengadu sebagai saksi bagi membuktikan dakwaan bahawa pegawai SPRM menggunakan kekerasan ketika menyoal siasat, dan seterusnya menunjukkan terdapat percanggahan dalam keterangan saksi SPRM, pegawai penguasa Mohd. Ashraf Mohd Yunus sebelum ini.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment