04 September 2009

Henti cabar keputusan mahkamah

PUTRAJAYA 3 Sept. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pakatan pembangkang berhenti daripada melakukan perbuatan mencabar keputusan mahkamah.

Katanya, ada kalangan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pakatan pembangkang merupakan pakar undang-undang, justeru mereka sepatutnya tahu tindakan tersebut adalah sia-sia.

Ini kerana, menurut Muhyiddin, mahkamah telah memutuskan kerajaan negeri Perak sekarang ini adalah di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Katanya, perhimpunan ADUN pakatan pembangkang di sebuah hotel semalam juga tidak sepatutnya berlaku.

“Mahkamah sudah putuskan bahawa kerajaan negeri Perak sekarang adalah sah dan atas dasar itu mereka (pembangkang) patut tahu tindakan tersebut sia-sia.

“Mungkin tindakan mereka mahu mencabar mahkamah dan tidak menghormati keputusan yang dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Kabinet mengenai pelancongan di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas tindakan 24 ADUN pakatan pembangkang mengadakan perhimpunan di sebuah hotel di Ipoh selepas gagal memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Ipoh semalam.

Antara ADUN berkenaan ialah bekas Menteri Besar Perak yang juga ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dan bekas Speaker DUN Perak serta ADUN Tronoh, V. Sivakumar.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan mereka jelas tidak menyumbang kepada kestabilan dan menggugat usaha-usaha pembangunan di Perak.

Ditanya sama ada kerajaan mahu mengambil tindakan tegas termasuk menahan mereka terlibat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), beliau menjelaskan, ia bukan pendekatan yang akan dilakukan. - Utusan

No comments:

Post a Comment