09 September 2009

Beng Hock gelisah

SHAH ALAM 8 Sept. - Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock buat kali keduanya digambarkan dalam keadaan gelisah dan nampak serius ketika berulang kali membelek empat dokumen sebut harga yang ditunjukkan ketika ditemuduga oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beng Hock yang tidak banyak bercakap juga dilihat bersandar serta menegakkan badannya sambil membelek-belek dokumen yang diperoleh menerusi e-mel itu sebelum diminta menyemak dan disahkan olehnya.

Gambaran tersebut diberikan oleh Penolong Penguasa SPRM Selangor, Mohd. Ashraf Mohd. Yunus Mohd. Ashraf ketika disoal oleh peguam pemerhati bagi suruhanjaya berkenaan, Datuk Abdul Razak Musa di Mahkamah Koroner di sini hari ini.

Pada 27 Ogos lalu, inkues siasatan tersebut dimaklumkan bahawa Beng Hock dilihat resah gelisah ketika komputer riba dan unit pemprosesan pusat (CPU) miliknya dirampas di pejabatnya di tingkat 15, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.

Dalam keterangan Mohd. Ashraf hari ini, mendiang berkeadaan demikian ketika ditemuduga di pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14, Plaza Masalam di sini pada 15 Julai lalu, sebagai saksi berhubung kes penyelewengan peruntukkan wang kerajaan negeri Selangor.

''Beng Hock tidak nampak ceria, dia serius dan tidak banyak bercakap. Dia cuma bercakap apabila ditanya mengenai nama, umur dan bagaimana dia mengenali Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah,'' ujar Mohd. Ashraf.

Setiap kali apabila dokumen ditunjukkan, kata Mohd. Ashraf, Beng Hock tidak menjawab ataupun mengesahkan itu adalah tandatangannya.

''Sebaliknya Beng Hock hanya kata hmm hmm hmm seolah-olah mengakui sahaja,'' jawabnya.

Mohd. Ashraf juga menegaskan, sewaktu ditemu duga oleh SPRM ketika itu, Beng Hock masih boleh bangun, berjalan dengan elok dan tidak pernah mengadu sakit.

Saksi inkues ke-19 itu juga berkata, sepanjang temu bual tersebut, beliau juga tidak pernah sekali-kali menjerkah atau menempik Beng Hock apatah lagi menggunakan sebarang kekerasan fizikal terhadapnya.

Selain itu, beliau menyatakan, tiada sebab baginya untuk berbohong apatah lagi untuk mencederakan orang lain.

Mohd. Ashraf turut memberitahu beliau tidak pernah dipanggil untuk disoal siasat oleh polis mahupun didakwa atas sebarang pertuduhan jenayah.

Beliau memberi keterangan di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas pada prosiding inkues siasatan kematian Beng Hock yang masuk hari ke-18 hari ini.

Beng Hock ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam kira-kira pukul 2 petang, 16 Julai lalu selepas disoal siasat oleh SPRM.

Dalam pada itu, prosiding inkues yang bermula pada pukul 11.45 pagi berlarutan hingga ke pukul 1.15 petang semata-mata untuk mendengar hujah permohonan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Beng Hock.

Gobind memohon untuk menyoal balas Mohd. Ashraf berhubung satu laporan polis yang dibuat oleh seorang suspek (tiada kaitan dengan kes Beng Hock) yang mendakwa kononnya telah dikasari oleh SPRM.

Laporan polis bertarikh 11 September 2008, dijadikan asas untuk mencabar kredibiliti keterangan Mohd. Ashraf setelah saksi itu sebelum ini mengatakan beliau tidak tahu menahu wujud kekerasan dalam soal siasat SPRM.

Abdul Razak bagaimanapun membantah keras permohonan tersebut kerana ia tidak relevan dengan inkues tersebut.

Tambahan pula, tegas Abdul Razak, laporan polis yang dimaksudkan sebenarnya jika dihitung, tiga hari lagi genap setahun. Malahan, ia dibuat kira-kira 10 bulan sebelum Beng Hock ditemui mati.

Peguam Tan Hock Chuan yang mewakili Kerajaan Malaysia pula mengesyorkan agar pengadu yang membuat laporan polis itu dipanggil memberi keterangan bagi mengelakkan prosiding tergendala.

Azmil kemudiannya memutuskan bahawa fakta dalam laporan polis itu adalah relevan bagi prosiding inkues itu dan membenarkan pengadu dalam laporan tersebut memberi keterangan di mahkamah, esok.

Inkues bersambung esok. - Utusan

No comments:

Post a Comment