10 September 2009

Bekas polis ke tali gantung

PUTRAJAYA - Kisah cinta tiga segi selalunya membawa pengakhiran tragis.

Kali ini ia menimpa seorang bekas Lans Koperal yang akhirnya dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan kerana membunuh kekasih isterinya, seorang ahli perniagaan warga Pakistan 13 tahun lalu.

Ironinya hukuman mandatori itu serta merta dijatuhkan terhadap Harcharan Singh a/l Piara Singh setelah tertuduh mengecapi kebebasan selama lima tahun ekoran keputusan Mahkamah Rayuan mengubah sabitan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Datuk Gopal Sri Ram dalam keputusan sebulat suara mengarahkan Harcharan dihantar terus ke Penjara Kajang untuk dilaksanakan hukuman.

Meskipun terkejut dengan keputusan tersebut, Harcharan yang duduk di galeri awam hanya bersikap tenang dengan ditemani seorang lelaki dipercayai ahli keluarganya.

Tertuduh yang berpakaian kemas dilihat akur apabila polis mahkamah menggari tangannya dan membawa dia ke lokap mahkamah.

Hakim Zaki berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah mempertimbangkan dengan teliti kes tersebut dan memaklumkan bahawa asas penghakiman bertulis akan diberikan kemudian. - Kosmo

No comments:

Post a Comment