WASHINGTON 29 Sept. - Amerika Syarikat (AS) meningkatkan tekanan ke atas Iran menjelang rundingan penting berhubung program nuklear negara itu dua hari lagi, dengan mendesak republik Islam itu memberikan akses penuh ter hadap fasiliti pengayaan uranium yang baru dan mengutuk ujian peluru berpandu terbaru Teheran.
Pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat lalu mendedahkan bahawa Teheran sedang membina loji pengayaan uranium yang kedua, meningkatkan lagi ketegangannya dengan Barat.
"Ini adalah hari dan minggu yang penting untuk Iran kerana mereka perlu membuat keputusan," kata jurucakap White House, Robert Gibbs, sebelum pertemuan kuasa dunia dengan Iran di Geneva pada Khamis ini.
Rusia turut meluahkan rasa bimbang terhadap ujian peluru berpandu Sejil dan Shahab-3 Iran, yang didakwa negara itu mampu mengenai sasaran di Israel.
Ia merupakan tanda kerisauan bersama tentang Iran oleh Rusia dan AS, selepas rundingan antara Presiden Dmitry Medvedev dan Presiden Barack Obama di New York pada minggu lalu.
Gibbs menyatakan bahawa dunia kini telah bersatu mencabar program nuklear Iran dan Teheran kini semakin terasing.
Washington mendesak Teheran agar membuka fasiliti pengayaan uranium di dalam sebuah gunung dekat bandar Qom, untuk disiasat oleh pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
"Mereka boleh... bersetuju untuk memberikan akses tanpa sekatan. Saya rasa perkara tersebut tidak menjadi masalah," kata Gibbs.
White House dan Jabatan Negara AS turut mengkritik keras ujian peluru berpandu terbaru Iran.
Jurucakap Jabatan Negara, P.J. Crowley me nyifatkan ujian tersebut sebagai 'tidak mem bantu langsung'. @ - AFP
Sementara itu di Teheran, pihak tentera Iran berkata, republik itu akan menghasilkan peluru berpandu versi Sejil lebih canggih, yang didakwa turut mampu mengenai Israel.
"Satu generasi baru peluru berpandu Sejil yang ditambah baik akan dihasilkan.
"Sejil mempunyai ketepatan yang baik di samping keupayaan memusnahkan. Peluru berpandu ini merupakan senjata terbaik yang dimiliki tentera Iran,'' kata komander tentera udara skuad elit Pengawal Revolusi Diraja, Hossein Salami kepada agensi berita IRNA.
Semalam, Iran melancarkan ujian peluru berpandu Sejil, yang dikatakan memiliki keupayaan terbang dalam julat kira-kira 2,000 kilometer, cukup untuk mengenai sasaran di kawasan Teluk dan sebahagian Eropah begitu juga Israel, sehingga mengundang kecaman Barat.
Peluru berpandu itu dilancarkan bersama Shahab-3, yang memiliki keupayaan sama dan satu lagi peluru berpandu jarak pendek sebagai sebahagian ujian selama dua hari.
Salami berkata, penghasilan peluru berpandu Iran tidak akan berhenti dan semakin meningkat dari sehari ke sehari.
AS dan sekutunya Israel tidak mengeluarkan arahan ketenteraan bagi menghentikan aktiviti nuklear Iran, yang disifatkan Barat sedang membina senjata nuklear, tetapi Iran menegaskan ia semata-mata untuk tujuan perdamaian. - AFP
* Israel dibiarkan memiliki nuklear supaya boleh terus membuli umat Islam.
No comments:
Post a Comment