23 September 2009

Anak 'Rasul Melayu' rayu tidak diganggu

KAJANG - Anak sulung kepada Abdul Kahar Ahmad atau ‘Rasul Melayu’, Mohd Zul Helmi, 34, berkata, sejak bapanya ditahan di Penjara Sungai Buloh mereka adik-beradik kini kehilangan tempat bergantung.

“Biarpun saya dan adik-beradik bekerja, tetapi kami masih bergantung sepenuhnya dengan ayah.

“Kami kini kehilangan kasih sayang dan menjadi anak yatim-piatu sejak abah ditangkap,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Sungai Long, Kajang.

Turut berada di situ, seorang lelaki Zainal Abidin Abdullah, 59 yang mendakwa sebagai ahli keluarga rapat dengan Zul Helmi.

Zul Helmi berkata, dia dan lima adiknya amat rapat dengan Abdul Kahar yang digelar abah.

Penangkapan Abdul Kahar juga memberi kesan kepada adik bongsu perempuannya yang berumur 19 tahun.

Katanya, bapanya memainkan peranan yang besar dengan memikul dua tanggungjawab sebagai sebagai seorang bapa dan ibu membesarkan anak-anak.

Buat pertama kalinya juga, Zul Helmi berkata, mereka adik-beradik akan menyambut hari raya tanpa seorang yang dikasihi di sini mereka.

“Sebenarnya soal hari raya tidak kami difikirkan. Apa yang dikesalkan adalah kami kini sudah kehilangan kasih sayang daripada abah.

“Kami berharap Abah akan terus bersabar di atas apa yang berlaku,” katanya yang enggan gambarnya diambil.

Ditanya apakah tindakan yang boleh mereka lakukan ketika ini, bapa kepada dua cahaya mata ini berkata, dia juga akan bersabar dan menganggap ini sebagai dugaan Allah.

Katanya, Allah suka orang yang bersabar, meskipun mengakui, dia menahan rasa marah di atas kejadian yang berlaku terhadap keluarganya.

Kelmarin, Abdul Kahar yang berumur 59 ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selepas usaha memburunya dilakukan sekian lama sehingga pihak Jais menawarkan RM20,000 kepada sesiapa yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya beliau.

Abdul Kahar kini ditahan di bawah seksyen 8 (a) dan (b) membuat dakwaan palsu yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya.

Beliau juga akan didakwa di bawah seksyen 12 (c) pelanggaran fatwa, seksyen 13 (1) pendapat bertentangan dengan fatwa serta seksyen 16 (1) (a) & (1) (b) penerbitan agama.

Walaupun banyak lagi persoalan yang mahu ditanyakan kepadanya, Zul Helmi bagaimanapun menolak secara baik untuk menjawab dan meminta dia tidak diganggu.

“Bagilah peluang kepada kami hidup aman damai. Cukuplah penderitaan yang abah hadapi. Jangan kacau hidup kami lagi,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment