27 September 2009

16 maut Taliban bom Peshawar

150 lagi cedera militan balas dendam pembunuhan pemimpin tertinggi

PESHAWAR: Dua letupan bom menyebabkan 16 orang terbunuh dan mencederakan 150 lagi dalam kejadian berasingan di barat laut Pakistan, semalam, beberapa hari selepas pergerakan Taliban memberi amaran akan melancarkan serangan berani mati jika tentera kerajaan terus menyerang mereka.

Letupan bom ketiga menyebabkan empat cedera di kawasan berdekatan sempadan Afghanistan itu yang tidak berada di bawah kawalan kerajaan Pakistan.

Sebutir bom diletupkan di luar sebuah bank yang sering dikunjungi askar di Peshawar, kata polis. Sepuluh maut dan 79 lagi cedera, kata pegawai kanan, Sahibzada Mohammed Anis.

Satu lagi letupan berlaku di sebuah balai polis di wilayah Bannu awal semalam menyebabkan enam orang terkorban dan mencederakan 70 lagi manakala letupan bom ketiga berlaku di bandar Gilgit.

Dalam kejadian di Bannu, ramai anggota polis tertimbus dalam kemusnahan itu, kata ketua polis, Mohammed Farid. Sekurang-kurangnya seorang yang maut itu adalah pegawai polis dan seorang lagi, pesalah yang ditahan dalam lokap.

Jurucakap Taliban, Qari Hussain Mehsud mendakwa kumpulannya bertanggungjawab atas pengeboman itu. “Kami memecahkan kesunyian selama ini memandangkan pihak kerajaan nampaknya seolah-olah tidak memahami penangguhan yang dipersetujui sebelum ini dengan menyerang kubu kami.

“Mulai sekarang akan ada banyak lagi pengeboman berani mati,” katanya. Dia menggesa orang awam supaya tidak berada berdekatan bangunan dan tempatan kepentingan polis dan pasukan keselamatan.

Serangan berlaku dua hari selepas Qari Hussain Mehsud memberi amaran bahawa kumpulan Tehrik-e-Taliban Pakistan sudah bersedia untuk melakukan lebih banyak serangan selepas ia diusir dari Lembah Swat, Julai lalu, berikutan serangan tentera.

Qari Hussain Mehsud - yang dikenali kerana melatih pengebom berani mati Taliban - mengeluarkan amaran itu dalam temu bual dengan Associated Press di sebuah lokasi rahsia di Waziristan Utara, beberapa jam sebelum Amerika Syarikat menyerang kawasan berkenaan dan membunuh 12 orang.

“Kami mempunyai pengebom yang mencukupi dan mereka meminta agar nyawa mereka dikorbankan atas nama Islam, tetapi kami akan hanya menghantar pengebom jika kerajaan bertindak terhadap kami,” katanya.

Amerika sebelum ini melepaskan berbelas-belas peluru berpandu daripada pesawat tidak mempunyai juruterbang menyerang pe-mimpin tertinggi Taliban dan al-Qaeda di wilayah timur laut sejak tahun lalu, dan pada 5 Ogos lalu mengakibatkan kematian bekas ketua Taliban Pakistan, Baitullah Mehsud.

Serangan peluru berpandu Khamis lalu di kawasan perkampungan Dande Darpa Khel di Utara Waziristan mengorbankan 12 orang. Kawasan berkenaan dikenali sebagai kubu kuat Jalaluddin Haqqani yang dituduh dalang kebanyakan serangan ke atas tentera Amerika dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Afghanistan. - AP

No comments:

Post a Comment