18 August 2009

‘Saya terlalu geram’

KUALA LUMPUR: “Saya nekad mengejarnya dan langsung tak terfikir kemungkinan penjenayah itu membawa senjata kerana terlalu geram dengan tindakannya,” kata penyampai Hot FM, Nik Nur Azura Nik Mahmood, 28, menceritakan detik cemas menjadi mangsa ragut di Ampang Putra di sini, kelmarin.

Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Azura ketika kejadian berada di sebuah restoran kira-kira jam 12 tengah hari kerana menemani kakaknya yang datang dari Terengganu untuk mengikuti kelas kecantikan.

“Saya menghantar kakak yang baru belajar mengikuti kelas kedua di sebuah pusat kecantikan. Bagaimanapun, ketika tiba, pusat kecantikan itu belum dibuka dan kami minum di restoran berhampiran,” katanya.

Azura berkata, ketika minum, kakaknya mengeluarkan kamera dan menunjukkan gambar dia mengikuti kelas kecantikan yang dihadirinya sebelum itu.
“Saya mengambil kamera itu dan membelek gambar yang dirakamkan sebelum dirampas seorang lelaki yang datang tiba-tiba menyebabkan berlaku tarik menarik.

Lelaki itu akhirnya merentap dan melarikan kamera terbabit,” katanya yang cedera di bahu dan tangan akibat direntap peragut terbabit.

Dia yang berang dengan tindakan itu tanpa berfikir panjang mengejar peragut terbabit sebelum kakaknya menjerit memanggil namanya.

“Sejurus mendengar jeritan kakak, saya terus berhenti mengejar lelaki itu walaupun sudah hampir berjaya menahannya,” katanya.

Azura berkata kakaknya terpaksa menjerit kerana risau penjenayah terbabit membawa senjata atau mempunyai rakan yang menunggunya dan mungkin akan dicederakan.

“Ketika itu, baru saya terfikir kebenaran kata-kata kakak dan terpaksa membiarkan penjenayah terbabit melarikan kamera berkenaan.

“Sebelum itu, hati saya panas membara dan langsung tidak memikirkan keselamatan diri. Apa yang bermain di fikiran hanya mahu menangkap peragut terbabit,” katanya memberitahu kejadian itu kali pertama berlaku dalam hidupnya.

Katanya, sejurus selepas itu, beberapa orang awam yang berada di kawasan terbabit menghampiri mereka dan memberitahu sehari sebelum itu juga berlaku kejadian sama.

Katanya, dia agak terkilan kerana kamera terbabit milik kakaknya, namun ketika kejadian ia ditarik dari tangannya.

Bagaimanapun, Azura dan kakaknya tidak membuat laporan polis kerana sibuk dengan tugas harian selain tidak mahu memanjangkan kes terbabit.

Azura, anak jati Kuala Terengganu pernah mencipta nama mewakili negeri dan peringkat kebangsaan sebagai pelari pecut 100 dan 200 meter wanita dan bersara sepenuhnya pada tahun 2001 akibat kecederaan (hamstring) yang berulang.

Pernah diberi jolokan ‘ratu trek negara’ berdasarkan kecantikan, keayuan dan ketinggian dimilikinya sering mencuri mata.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor itu beralih arah apabila dia dilamar menjadi penyampai radio Hot FM pada 2006.

Selain bertugas sebagai penyampai di stesen radio terbabit, Azura turut menjadi pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) dan bertemu jodoh dengan Eksekutif Penjenamaan TV3, Shaffique Ahmad Zehnun, 30, tahun lalu. - Mymetro

* Umno rompak hak rakyat Perak. Itu lagi dahsyat.

No comments:

Post a Comment