Pengerusi Pertubuhan Penduduk Kampung Buah Pala, M Sugumaran berkata penduduk bertegas tidak mahu keluar dari kampung tersebut yang juga dikenali 'High Chapparal Pulau Pinang' sebelum 1 Sept walaupun perintah pengosongan telah dikeluarkan Mahkamah Persekutuan.
"Pendirian kami kekal tidak mahu keluar dari kampung ini melainkan satu perjanjian pampasan yang betul dicapai dengan pemaju, Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd," katanya kepada Bernama apabila dihubungi di Pulau Pinang hari ini.
Katanya, rumah teres dua tingkat yang ditawarkan pemaju hanya akan dibina dua tahun lagi jadi penduduk kampung rasa tidak selamat untuk menerima tawaran tersebut.
"Sekiranya kami keluar sekarang kami tidak ada rumah. Kami sepatutnya diberi pampasan sebelum tanah ini diberi kepada pemaju yang mana tidak mempunyai locus standi (tidak berhak)," katanya.
Beliau juga mendakwa pemaju masih lagi belum menerima perintah untuk merobohkan rumah dari kerajaan, sehubungan itu perintah pengosongan pada 1 Sept adalah tidak sah.
Penduduk Kampung Buah Pala perlu mengosongkan tanah itu sebelum 1 Sept susulan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan penduduk 20 Ogos lepas bagi 23 keluarga menduduki tanah seluas 2.6 hektar tersebut.
Isu itu bertambah rumit apabila pihak pemaju gagal dalam dua percubaannya untuk merobohkan rumah penduduk berikutan bantahan daripada keluarga yang terlibat. BERNAMA
* Bersiaplah dengan belantan polis.
No comments:
Post a Comment