SHAH ALAM 24 Ogos - Pegawai masjid yang terdiri daripada nazir, imam, bilal dan siak di lebih 370 masjid di Selangor diberi surat kuasa untuk membantu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali, berkata, surat kuasa itu diberikan dua minggu lepas.
''Antara kesalahan yang diberi penekanan untuk dibanteras pada bulan Ramadan ini ialah makan, minum dan menghisap rokok di khalayak ramai pada masa berpuasa,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kesalahan di bawah Seksyen 19 Enakmen itu boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-keduanya sekali.
Dr. Hasan berkata, pegawai masjid yang mempunyai surat kuasa itu bagaimanapun tidak boleh menangkap pesalah tetapi hanya mengambil butiran diri dan jenis kesalahan serta barang kes untuk diserah kepada Pegawai Penguatkuasa Agama untuk tindakan lanjut.
Selain itu, Hasan berkata, pegawai masjid boleh menangkap orang Islam yang minum arak, tetapi perlu menyerahkan mereka kepada polis atau pegawai penguat kuasa agama.
Orang Islam yang minum arak di tempat awam atau kedai, boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.
Bagi orang Islam yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, menyimpan atau membeli arak pula, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment