29 August 2009

Noordin kahwin gadis 19 tahun

JAKARTA 28 Ogos – Polis Indonesia kini menyiasat dakwaan mengatakan pengganas paling dikehendaki, Noordin Mat Top berkahwin dengan seorang gadis berusia 19 tahun di Pandeglang, Banten, beberapa hari selepas konco-konconya terbunuh di Jawa Tengah.

“Kami telah menghantar pegawai polis ke tempat itu. Jika ia benar, kami akan mencari isterinya dan menjejakinya,” kata ketua detektif Komrad, Jeneral Susno Duadji semalam.

Al Chaidar, bekas anggota kumpulan militan Darul Islam (DI) yang kini menjadi pensyarah Universiti Kuala Syiah di Aceh berkata, dia menerima maklumat bahawa Noordin berkahwin dengan Novi Lutfiati yang keluarganya menganggotai DI, beberapa hari selepas serangan di Temanggung.

Noordin sebelum ini telah berkahwin dengan beberapa wanita sebagai cara merekrut pengikut baru dan mengelak daripada ditangkap.

Tahun lalu, dia telah berkahwin dengan Arina Rahmah di Cilacap, Jawa Tengah dan Munifiatun di Jepara, Jawa Tengah.

Menurut penganalisis, kemampuannya untuk berkahwin dalam tempoh beberapa hari selepas pengeboman dua hotel mewah di Jakarta 17 Julai lalu, menunjukkannya mendapat sokongan ramai dari seluruh Jawa.

Di Jawa Tengah, laporan menyatakan pengganas nombor satu itu mendapat sokongan daripada rangkaian ‘Urwah’ dan Cilacap serta Laweyan dan Temanggung.

Rangkaian Cilacap adalah contoh bagaimana sebuah keluarga yang mempunyai hubungan dengan Noordin boleh menarik anggota lain untuk membina kumpulan tempatan baru dalam tempoh tiga tahun Noordin tinggal di kawasan itu.

Dia juga mempunyai sekurang-kurangnya tiga lagi rangkaian di Kuningan, Bogor dan Baten.

Leftenan kanannya, Syaifudin Jaelani menunjukkan bagaimana dia boleh merekrut remaja di Bogor untuk melakukan pengeboman berani mati di hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton. – Agensi

* Rezeki Allah beri :)

No comments:

Post a Comment