
DUNGUN- Nisbah seorang anggota polis dengan penduduk di negara ini masih terlalu jauh ketinggalan jika dibandingkan di peringkat antarabangsa, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.
Beliau berkata nisbah yang diperakukan Interpol ialah seorang anggota polis bagi setiap 250 penduduk, tetapi di sesetengah kawasan di negara ini seseorang anggota polis terpaksa mengawasi kira-kira 6,000 penduduk setempat.
"Kalau nisbah seorang anggota polis bagi menjaga keselamatan 6,000 penduduk. Bayangkan bagaimana orang boleh menuding jari kepada polis jika berlaku
jenayah," katanya sambil memberi contoh Balai Polis Chabang Tiga di Kuala Terengganu yang dilawatinya dua hari lepas.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Dungun di Sekolah Menengah Teknik di sini malam tadi.
Turut hadir Ketua Umno Bahagian Dungun Datuk Rosli Mat Hassan. Hishammuddin berkata kerajaan akan terus berusaha menambah nisbah anggota polis sehingga sekurang-kurangnya seorang anggota bagi 500 penduduk dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di negara ini dan memastikan rakyat merasa selamat.
Beliau berkata KDN juga akan memperkenalkan beberapa pendekatan baru termasuk menaiktaraf balai-balai polis, melibatkan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) dalam usaha untuk menangani jenayah di negara ini.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata penglibatan pelbagai kaum dalam pasukan keselamatan itu masih diperlukan selaras dengan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kalau kita tidak boleh bersatu dalam bidang ekonomi, politik dan agama, kita masih perlu mencari satu jambatan untuk menyatupadukan rakyat. Jenayah
tidak melihat warna kulit, agama dan kedudukan seseorang itu. Kita boleh bersatu di bawah konsep 1Malaysia untuk sama-sama tangani masalah jenayah ini," katanya.
-- BERNAMA
* Sudahlah kurang, jenayah meningat, digunakan lagi untuk menjaga kepentingan politik.
No comments:
Post a Comment