KUANTAN, 18 Ogos (Bernama) — Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini mengeluarkan waran penahanan terhadap seorang model pelancongan yang dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan selepas mengaku salah meminum arak, bulan lepas.
Hakim Syarie Datuk Abdul Rahman Yunus memerintahkan Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, dari Sungai Siput, Perak ditahan berkuat kuasa 24 Ogos ini bagi tempoh tujuh hari untuk melaksanakan hukuman sebatan.
Mahkamah bagaimanapun bersetuju mengeluarkan waran pelepasan ke atas Kartika Sari Dewi dalam tempoh kurang dari tujuh hari sekiranya hukuman sebatan dilaksanakan lebih awal.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Syarie Saiful Idham Sahimi memfailkan tiga permohonan bagi memohon perintah menahan Kartika Sari Dewi di Penjara Wanita Kajang, perintah menguatkuasakan hukuman sebatan secara syariah dan permohonan perintah pelepasan selepas hukuman dijalankan.
Permohonan tersebut dibuat selepas tempoh rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan pada 20 Julai lepas berakhir pada 3 Ogos lepas.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment