26 August 2009

Korban Ramadan

KANGAR: “Saya potong tali pinggang keledar bagi mengeluarkan pemandu yang tersepit dalam kereta Perodua Kancil yang beransur-ansur tenggelam ke dalam terusan dan ketika diangkat naik, mangsa masih bernafas.

“Dia sempat memegang tangan saya untuk seketika sebelum menghembuskan nafas terakhir di tebing terusan,” kata Mohamad Yatim Denan, 63, menceritakan detik cemas menyelamatkan pasangan yang kenderaan mereka terbabas dalam terusan di Kilometer Satu, Jalan Sungai Baru, Simpang Empat, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, seorang anggota Rela, Marzuki Othman, 58, meninggal dunia manakala isterinya, Khalsom Aud Latif, 62, parah apabila kereta Perodua Kancil mereka bergesel sebuah Proton Wira sebelum terbabas ke dalam terusan.

Marzuki adalah peneroka Felda Mata Ayer, Padang Besar, dekat sini dan dipercayai meninggal dunia akibat lemas manakala pemandu kereta Proton Wira pula didakwa menghilangkan diri sejurus selepas kemalangan.

Mohamad Yatim berkata, beliau mendengar dentuman kuat ketika membaiki rumah dan melihat jelas kenderaan terbabit terjunam memasuki terusan berhampiran menyebabkan dia meluru ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Rusli Yahaya, berkata kejadian berlaku selepas Proton Wira dipandu seorang lelaki gagal memotong kenderaan dinaiki pasangan berkenaan.

Katanya, Proton Wira terbabit bergesel dengan bahagian hadapan kereta dipandu mangsa menyebabkan ia hilang kawalan lalu merempuh pokok sebelum terbabas ke dalam terusan. - Mymetro

1 comment:

  1. kalaupun pemandu wira tu takut untuk berhenti (kena pukul), dia sepatutnya terus ke mana2 balai polis berdekatan dan buat laporan. Barulah kes dpt diselesaikan dgn baik.
    _____________________
    View Profile: Rantong™

    ReplyDelete