PULAU PINANG: Penduduk Kampung Buah Pala diberi tempoh sehingga 1 September ini untuk mengosongkan rumah masing-masing sebelum rumah mereka dirobohkan.
Keputusan itu dicapai setelah rundingan diadakan bersama polis, wakil penduduk, bailif mahkamah dan pemaju Nusmestro Ventures (P) Sdn Bhd petang tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Azam Abdul Hamid, yang mewakili polis dalam rundingan tersebut berkata persetujuan telah dicapai dan atas permohonan wakil penduduk, tarikh itu dilanjutkan sehingga 1 September.
"Pihak pemaju telah bermurah hati atas keperimanusiaan menangguhkan kerjakerja meroboh rumah penduduk hari ini," katanya selepas rundingan tiga pihak tersebut dalam sebuah van Balai Polis Bergerak di sini hari ini.
Azam berkata penangguhan itu diberikan atas permintaan wakil penduduk untuk memberikan masa kepada mereka mencari penempatan sementara.
Katanya, wakil penduduk memberi jaminan bahawa mereka akan bekerjasama dan berpindah secara aman.
"Saya diberitahu oleh wakil penduduk bahawa kemungkinan mereka sendiri akan robohkan rumah mereka sebelum 1 Sept dan tidak ada sebarang halangan lagi untuk pemaju," katanya.
Katanya bailif mahkamah akan mendapatkan tandatangan setiap penduduk kampung berhubung jaminan tersebut.
"Saya berharap tidak akan ada mana-mana pihak, parti politik dan NGO yang akan cuba mengeruhkan atau mengambil kesempatan terhadap keputusan yang diambil ini untuk keselamatan semua," katanya.
Sebelum itu, Penolong Setiausaha Pertubuhan Penduduk Kampung Buah Pala, C.Tharmaraj berkata kerajaan negeri telah menghampakan penduduk kampung kerana gagal menunaikan janji.
"Ketua Menteri Lim Guan Eng telah berjanji akan memfailkan permohonan menurut Seksyen 116 1(d) Kanun Tanah Negara bagi membolehkan kerajaan negeri menghalang kerja-kerja pembangunan di kawasan berkenaan tetapi lihat apa yang berlaku sekarang?," katanya.
Katanya kerajaan negeri harus memberi penjelasan mengapa sehingga sekarang permohonan itu tidak difailkan sedangkan pemaju telah membawa pekerja untuk merobohkan kampung ini.
Katanya beliau telah berusaha untuk menghubungi kesemua wakil rakyat tempatan termasuk Lim dan Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy, tetapi gagal.
Sejak beberapa minggu lalu, kontroversi Kampung Buah Pala menghiasi dada akhbar berikutan keengganan penduduk di situ berpindah keluar dari kampung berkenaan walaupun Mahkamah Persekutuan telah mengeluarkan perintah supaya mereka mengosongkan tanah seluas 2.6 hektar itu bagi membolehkan pemaju dan pemilik tanah, Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang membangunkan kawasan berkenaan.
Penduduk enggan berpindah selepas beberapa pemimpin pembangkang dikatakan berjanji pada kempen pilihan raya umum tahun lalu untuk membantu mereka jika gabungan pembangkang memenangi pilihan raya itu. - BERNAMA
* Jika itu perkampungan setinggan Melayu sudah dari awal kena roboh.
No comments:
Post a Comment