24 August 2009

Calon BN lega kebenaran terserlah kini

Calon BN bagi kerusi DUN Permatang Pasir, Rohaizat Othman berasa lega kerana kebenaran mengenai dirinya semakin terpancar dan berharap kebenaran itu akan bertukar menjadi kemenangan baginya esok.

Katanya, kini sedikit demi sedikit fitnah yang dilemparkan kepadanya selama ini sudah terbongkar dan berharap pandangan atau persepsi negatif masyarakat terhadapnya akan berubah.

"Saya sentiasa berdoa kepada Allah supaya satu hari nanti kebenaran akan timbul dan nama baik saya dipulihkan. Saya harap hari esok kebenaran itu akan muncul bagi saya," katanya kepada pemberita ketika berkempen dari rumah ke rumah pada hari terakhir sebelum 20,290 pengundi membuat pilihan wakil rakyat baru bagi kawasan itu, esok.

Sambil berterima kasih kepada bekas rakan kongsi syarikat guamannya, Yusri Isahak kerana menjelaskan kepada umum siapa dirinya, beliau berharap selepas ini tiada lagi tohmahan yang bukan-bukan dilemparkan kepadanya.

Katanya, beliau menerima mesej SMS daripada seorang kawan yang memanjangkan mesej yang dihantar oleh Yusri yang mahu Rohaizat tidak lagi dihina.

Sambil menunjukkan mesej yang diterima itu kepada wartawan, Rohaizat percaya rakan baiknya itu diperalatkan oleh pihak tertentu.

Menurut mesej yang dihantar itu, Yusri menyatakan bahawa Rohaizat adalah orang yang baik dan jangan dihina dan dikorbankan orang yang boleh membawa perubahan kepada Permatang Pasir.

Dalam mesej itu, Yusri juga berharap kenyataannya tidak dipolitikkan untuk memfitnah Rohaizat.

Sementara itu, isteri Rohaizat, Khairul Niza Abdul Razak berkata, beliau lega semua "kekalutan" ini semakin reda dan berserah kepada Allah untuk menentukan nasib suaminya esok.

"Saya harapkan yang terbaik buat suami saya dan lega semua kempen ini akan berakhir. Kita dah usaha sebaik mungkin dan kini terserah kepada ketentuan Allah," katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangannya jika beliau menang esok, Rohaizat berkata, beliau akan membuka tiga pusat khidmat di Permatang Pasir untuk membantu penduduk di sana.

"Kita akan tempatkan kakitangan sepenuh masa di pusat-pusat itu untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk tetapi jika kalah, saya tidak akan tinggalkan Permatang Pasir," katanya.

Dalam masa tidak sampai 24 jam lagi tempoh kempen yang berbaki, Rohaizat berkata, momentum sokongan terhadapnya semakin meningkat.

"Sokongan jentera, keluarga, isteri dan adik beradik saya benar-benar memberi semangat untuk saya melalui kempen ini dengan baik," katanya.

Beliau berkata, antara dugaan yang perlu ditempuhinya sepanjang berkempen ialah menghadapi tohmahan mengenai dirinya serta kesuntukan masa untuk bertemu dengan semua pengundi di serata ceruk kawasan Permatang Pasir. BERNAMA

* Rakyat percaya Yusri mendapat sesuatu.

No comments:

Post a Comment