DALAM blog jinggo dipostingkan beberapa keping foto sekumpulan orang Melayu beragama Islam telah mengadakan tunjuk perasaan membantah pembinaan kuil Hindu. Tidak jelas di mana berlaku tunjuk perasaan itu. Banyak banner dipaparkan dengan macam-macam tulisan dan kata-kata sinis yang ditujukan kepada pihak mana, tidak juga berapa jelas.
Melihat kepada sebahagian orang yang menunjuk perasaan itu semacam selepas solat Jumaat saja. Tunjuk perasaan sudah menjadi perkara biasa di negara ini. Sudah jadi macam Indonesia pula. Begitu juga dengan sepanduk dan kata-kata nesta dan protes yang beraneka ragam. Tetapi dalam tunjuk perasaan oleh sekumpulan Melayu beragama Islam ini ada kelainannya.
Selepas beberapa orang memberi ucapan upacara mengusung kepala lembu di lakukan. Melihat paparan ini macam dalam satu acara keagamaan orang Asli di Afrika pula. Ke mana ia hendak dibawa kurang jelas sebab tidak ada catatan dalam posting berkenaan. Mengenang kepada lembu ini juga teringatlah saya kepada kepala babi yang digantung di pintu pagar rumah orang dan juga kepada kepala babi yang diletakkan di dalam surau di sebuah universiti tidak lama dulu.
Apakah tindakan mengusungkan kepala lembu itu diambil ilham atas perbuatan mempermain-mainkan kepala babi itu? Apapun sebagai orang Melayu yang sudah pasti beragama Islam rasanya kurang manis bermain dengan kepala haiwan itu. Apa lagi meniru perbuatan yang menjijikkan dan sangat terkeji itu.
Bukan kerana haiwan itu merupakan haiwan suci bagi satu agama, tetapi kepala lembu yang disembelih itu juga sebahagian daripada makanan manusia (Islam) yang halal apakah elok kalau makanan diperlakukan begitu? Apakah sudah tidak ada cara lain untuk dibawa bersama tunjuk perasaan itu? Diharap mereka dapat memikirkan semula tindakan mereka.
Di bawah ini dipostingkan salah satu daripada beberapa keping foto yang dipaparkan dalam blog jinggo berkenaan untuk tonton penjenguk blog merah tinta. Fikir dan renunglah sendiri apakah perbuatan ini bertepatan dengan akal budi Melayu beragama Islam dan sesuaikah ia dilakukan dalam bulan Ramadhan al mubarak ini.
Harapnya para ulama terutamanya Mufti Perak, Harussani Zakaria dan penceramah Ridhuan Tee Abdullah atau Mohamad Ravi Abdullah dapat memberi pandangan mengenai hal ini seperti mana sepatutnya. - Msomelayu
* Kumpulan ini menghina dan memalukan Islam. Jika pihak berkuasa tidak mengambil tindakan. Rakyat akan menganggap Umno dibelakang kebiadapan mereka.
No comments:
Post a Comment