JAKARTA, 22 Julai (Bernama) -- Polis Indonesia hari ini mengesahkan hasil ujian DNA didapati tidak sepadan dengan dua lelaki, yang sebelum ini dilaporkan media massa tempatan sebagai orang yang disyaki menjadi pengebom bunuh diri dalam kejadian bom di hotel JW Marriot dan Ritz Carlton di sini, Jumaat.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Indonesia Insp Jen Nanan Sukarna berkata hasil ujian DNA yang dijalankan ke atas dua kepala yang ditemui di tempat kejadian, yang disyaki kepala kedua-dua pengebom itu yang disebut-sebut sebagai Nur Hasbi alias Nur Said dan Ibrahim, dengan DNA keluarga mereka, tidak sepadan.
"Keluarga yang datang kelmarin ke sini, keluarga Nur Hasbi, tidak identik DNA dengan potongan kepala yang ditemui di tempat kejadian," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.
Mengenai Ibrahim pula, beliau berkata, setelah ujian DNA dijalankan, ia juga didapati tidak sepadan.
Ini disahkan oleh Ketua Pasukan Penyiasat Mangsa Bencana Polis Indonesia, Brig Jen Edi Suparwoko yang berkata: "Kita sudah melakukan pemeriksaan secara saksama (menyeluruh) kepada keluarga-keluarga yang merasa kehilangan anggota keluarga mereka dalam peristiwa ini namun sehingga saat ini tidak ada yang cocok (sepadan)".
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment