MASSACHUSETTS 25 Julai – Pasukan polis hari ini meminta supaya Presiden Barack Obama memohon maaf atas kenyataannya yang menyifatkan mereka melakukan `tindakan bodoh’ apabila menahan seorang profesor Harvard yang berkulit hitam.
Kesatuan-kesatuan polis di Cambridge, Massachusetts bersatu menyokong Sarjan James Crowley yang telah menahan Henry Louis Gates kerana berkelakuan tidak senonoh selepas memecah masuk rumahnya sendiri.
Presiden Persatuan Pegawai Tinggi Polis Cambridge, Dennis O’Connor berkata, dia mahu supaya Obama memohon maaf kepada lelaki dan wanita di jabatan polis Cambridge.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pegawai Polis Rondaan Cambridge, Steve Killian menganggap tindak balas Presiden itu sebagai sesuatu tindakan yang salah.
“Beliau harus memohon maaf kepada semua kakitangan penguatkuasa undang-undang di seluruh negara,” jelasnya.
Gates, Profesor Kajian Afrika dan Afrika-Amerika di Universiti Harvard, ditahan pada 16 Julai lalu oleh polis semasa dia cuba memasuki rumahnya sendiri di Cambridge.
Dia dilaporkan cuba membuka pintu depan rumahnya yang tersekat apabila jiran menelefon polis kerana mengesyaki rompakan sedang berlaku. – AGENSI
No comments:
Post a Comment