15 July 2009

Peguam utama tarik diri wakili Anwar kerana masih sakit

KUALA LUMPUR - Peguam Sulaiman Abdullah yang mendapatkan rawatan akibat pening di hospital menarik diri buat sementara daripada mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai peguam utama, dalam kes liwatnya memaksa Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Abidin Mohd Diah, menangguhkan prosiding kepada pukul 2 petang hari ini.



Seorang daripada peguam bela Anwar, S.N.Nair memberitahu, pihak media bahawa Sulaiman telah memaklumkan kepada pasukan pembela bahawa beliau tidak mahu kes itu tertangguh disebabkan keadaan kesihatannya.

Sulaiman dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak minggu lepas untuk mendapatkan rawatan selepas diserang sakit kepala secara tiba-tiba.

Prosiding hari ini dijadualkan di mahkamah terbuka tetapi pada 9.15 pagi, peguam bela Anwar, Edmund Bon dan R.Sivarasa dan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pasukan pendakwaan, memasuki kamar Hakim Mohamad Zabidin.

Nair memaklumkan, bahawa pihak pembela memohon menangguhkan prosiding hari ini bagi membolehkan Anwar melantik peguam baru tetapi ia telah ditolak.



Nair berkata, Hakim Mohamad Zabidin meminta seorang dari peguam bela untuk mewakili Anwar dalam prosiding hari ini dan menangguhkan kes itu pada pukul 2 petang. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment