10 July 2009

Natrah sentiasa rindu keluarga angkat di M’sia

KEMAMAN 10 Julai — Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya, sentiasa merindui keluarga angkatnya di Malaysia ketika beliau sakit teruk akibat leukemia sebelum meninggal dunia dua hari lepas.

Saudara angkat Natrah, Rokayah Mohd. Dahan, 63, berkata, Natrah sering meluahkan perasaannya itu sama ada melalui telefon atau e-mel kepada adiknya di sini dan anaknya yang tinggal di Kuantan.

Malah, beliau yang merupakan cucu kepada ibu angkat Natrah, Che Aminah Mohamed berkata, Natrah juga mempelawa mereka menjenguknya di Belanda di saat beliau sakit teruk akibat penyakit berkenaan.

Rokayah berkata, beliau menerima berita kematian Natrah menerusi telefon pada pukul 8 malam semalam daripada anaknya, Mohd. Akram Abdul Aziz yang bekerja di Kuantan.

“Selepas menerima berita tersebut, saya terkejut dan sangat sedih kerana banyak kenangan bersama Natrah semasa dia berada di sini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mak Chili Paya dekat sini hari ini.

Beliau berkata, antara kenangan yang tidak dapat lupakan ialah Natrah masih petah bercakap bahasa Melayu loghat Indonesia sewaktu datang ke Kemaman pada 1997 walaupun telah 46 tahun meninggalkan Malaysia.

``Pada 1997, Allahyarham balik ke Kemaman bersama suaminya warga Indonesia sambil diiringi dua wartawan Belanda. Ketika itu, Natrah tinggal di Kemaman tiga malam dan tidur di rumah saya satu malam.

“Masa itulah kami sempat berkongsi kenangan dengannya dan beliau juga masih gemar makan ketupat palas,” katanya.

Rokayah berkata, selepas Natrah meninggalkan Malaysia dan pulang ke Belanda, dia berkahwin dengan lelaki Belanda dan mempunyai 10 anak.

“Beberapa tahun selepas itu, Natrah berkahwin pula dengan rakyat Indonesia dan pernah pulang ke Kemaman pada 1997,” katanya.

Natrah meninggal dunia akibat leukemia pada usia 72 tahun di kediamannya di Huijbergen, Belanda, dua hari lepas.

Bertha menjadi isu di Singapura pada 1950 akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya, Che Aminah dengan keluarga asal beliau yang berketurunan Belanda.

Bertha ketika itu berumur 13 tahun dan telah memeluk Islam serta bernikah gantung dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor Adabi.

Namun begitu, undang-undang British/Belanda tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada berkahwin dan dia diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. - Bernama


* Apa agama Natrah sekarang?

No comments:

Post a Comment