11 July 2009

KJ pelawa Pas sertai BN

KUALA KRAI – Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin semalam, mempelawa Pas menyertai Barisan Nasional (BN) serta meninggalkan terus ‘pakatan murah’ yang turut disertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang sering memandang rendah kepada parti tersebut.

Menurutnya, selain ‘suara’ pas yang tidak pernah dipedulikan parti-parti berkenaan, pelawaan itu juga bagi menjayakan konsep 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita pelawa Pas untuk masuk BN dan bersama-sama UMNO serta parti komponen lain untuk menjayakan konsep 1Malaysia, cukuplah dengan sandiwara antara mereka.

“Seperti yang kita sering dengar, Pas dihina oleh Karpal Singh (Pengerusi DAP) apabila mereka bercakap mengenai kerajaan Islam, dimaki-hamun oleh pemimpin Pakatan Rakyat (PR) lain apabila mereka bercakap hal hukum hudud, atas pentas ini saya minta Pas sekali lagi sertai BN,” katanya ketika menyampaikan ceramah anjuran UMNO di Kampung Sungai Peria, malam, kelmarin.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau turut menegaskan pelawaan tersebut dibuat kerana beliau yakin majoriti ahli Pas masih mahukan perpaduan antara parti-parti Melayu Islam di negara ini.

“Masih ada pemimpin-pemimpin dalam Pas masih mahukan perpaduan, Cuma masalahnya satu-dua pemimpin sahaja yang kacau. Tok Guru Nik Aziz seorang yang baik, tetapi yang jadi masalah beliau bercakap macam-macam kata UMNO sama dengan komunis, UMNO sama dengan ajaran Ayah Pin sebab ada pengaruh pemimpin Pas lain seperti Husam, jadi Tok Guru dikelirukan oleh Datuk Husam Musa,” katanya.

Khairy berkata, pemimpin dalam Pas, terutamanya Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa yang jelas menyokong perpaduan Pas dengan UMNO, menang pemilihan jawatan parti pada Muktamar Pas baru-baru ini.

“Ini membuktikan sokongan ahli Pas kepada mereka serta menyokong perpaduan yang dilaungkan oleh dua pemimpin tertinggi Pas ini, jadi jika BN menang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, ia memberi isyarat jelas penyokong Pas menolak pemimpin seperti Husam yang tidak mahukan perpaduan.

“Bayangkan Hadi, seorang yang amat radikal dahulu dengan mengeluarkan ’Amanat Haji Hadi’ boleh bercakap perpaduan dengan UMNO, jadi apa masalahnya sekarang?” katanya.

Pada sidang medianya selepas itu, Khairy menjelaskan UMNO tidak mengharapkan sesuatu yang besar akan berlaku dalam tempoh terdekat.

“Tok Guru tidak bersetuju dengan perpaduan, tetapi Dewan Pemuda Pas mahu membuat perbincangan dengan UMNO, kita cuma mahukan satu perpaduan antara parti-parti Melayu negara ini, jadi fikirkanlah,” katanya.

- Sinar Harian

* KJ gila talak?

1 comment:

  1. Tahu la... org ARMNO team anak Mahatir tengah berusaha jatuhkan KJ...pasal tu KJ nak cari pengikut baru...jangan harap la.... Rakyat bukan bodoh mcm ahli bawahan UMNO yg sering diperbodohkan oleh pemimpinnya. terkini!!! lebih 80 kali guna tol dapat 20$ diskaun...kena bodoh lagi org UMNO????

    ReplyDelete