20 July 2009

Kamera saman automatik di seluruh negara mulai 1 Sept.

IPOH 20 Julai — Pengguna jalan raya tidak akan terlepas daripada menerima kompaun dan saman apabila melakukan kesalahan lalu lintas di lebih 200 kawasan berisiko tinggi kemalangan di seluruh negara dengan pemasangan “Kamera Pengesan Saman Secara Automatik” (AES) mulai 1 September ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata menerusi sistem, semua kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya akan direkodkan melalui kamera automatik dan saman dikeluarkan serta-merta melalui sistem komputer Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kamera automatik akan ditempatkan di lebih 200 kawasan sering berlaku kemalangan yang telah dikenal pasti oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Sistem AES merupakan kamera pemantauan automatik yang akan diletakkan di kawasan yang sering berlaku kemalangan di lebuh raya dan jalan persekutuan serta beroperasi selama 24 jam,” katanya kepada pemberita selepas melawat JPJ Perak di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata AES akan merakam kesalahan yang dilakukan seperti melanggar lampu isyarat dan memandu melebihi had laju.

“Mereka yang telah didapati melakukan kesalahan ini dan ingkar membayar kompaun, sukar bagi mereka untuk memperbaharui cukai jalan,” katanya.

Beliau berkata proses pelaksanaan AES telah melalui dua peringkat iaitu kaedah mengesan bentuk kesalahan dan penentuan lokasi menempatkan kamera.

AES akan diletakkan di kawasan-kawasan yang mempunyai risiko kerap berlaku kemalangan dan pada peringkat pertama sebanyak 200 kawasan telah dikenal pasti, katanya.

“Antara punca utama kemalangan sering berlaku di kawasan tersebut ialah memecut melebihi had laju yang ditetapkan dan melanggar lampu merah,” katanya.

Beliau berharap pelaksanaan AES akan memberi impak yang lebih baik dalam usaha mendidik pengguna jalan raya mengenai cara pemanduan yang berhemah.

Abdul Rahim berkata di Perak, terdapat 50 lokasi yang telah dikenal pasti mempunyai risiko berlaku kemalangan dan akan dilengkapi dengan AES.

— BERNAMA

No comments:

Post a Comment