29 July 2009

Isteri suspek sahkan identiti Noordin Mat Top

JAKARTA - Seorang wanita yang ditangkap polis Indonesia berhubung serangan bom di ibu kota Jakarta, Arina Rahmah mengenal pasti suaminya sebagai suspek pengganas, Noordin Mat Top, kata peguamnya semalam.

Arina, 25, adalah antara suspek yang ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung letupan bom di hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton di Jakarta pada 17 Julai lalu.

"Polis menunjukkan foto Noordin dan dia (Arina) memberitahu mereka bahawa suspek adalah mirip suaminya, Abdul Halim," kata Asludin Hatjani.

Menurutnya, anak guamnya itu mengaku melihat suaminya buat kali terakhir pada Mac tahun ini.

Polis sangat mengharapkan maklumat daripada Arina dalam usaha mengesan pergerakan dan tingkah laku Noordin yang kini menjadi antara lelaki paling dikehendaki di Asia.

Pasukan keselamatan Indonesia percaya bahawa Noordin dan jaringan di belakangnya adalah dalang yang merancang dua serangan maut baru-baru ini walaupun tiada mana-mana kumpulan mengaku bertanggungjawab.

Noordin turut disyaki terlibat dalam serangan berani mati di hotel JW Marriott pada 2003, Kedutaan Australia (2004) dan restoran di Bali (2005).

Semua serangan itu menyebabkan 42 orang maut dengan kebanyakan mangsa adalah warga Indonesia manakala beratus-ratus mangsa lagi cedera. - Sinar Harian

1 comment: