KUALA LUMPUR: Hukuman yang dianggap pengajaran setimpal apabila dua pencuri kasut dipertontonkan kepada orang ramai termasuk jemaah masjid selepas kedua-dua penjenayah diberkas bersama 55 pasang kasut yang baru dicuri mereka.Kedua-dua pencuri terbabit masing-masing berusia 20-an dan 40-an diberkas selepas dikesan mencuri kasut jemaah dengan berlakon mahu menunaikan solat Zuhur di Masjid Bukit Aman, Jalan Cendarasari, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari semalam.
Difahamkan kedua-dua suspek tersalah perkiraan apabila menjadikan Masjid Bukit Aman sebagai sasaran kerja jahat tanpa menyedari rumah ibadat terbabit dihadiri pegawai polis selain dipantau kamera litar tertutup (CCTV).
Dalam kejadian itu, suspek berusia 20-an dikesan terlebih dahulu memasuki perkarangan masjid dengan memandu Perodua Kancil.
Seorang jemaah masjid yang enggan namanya didedahkan berkata, selepas itu suspek yang memakai jeans lusuh dan baju-T dilihat berkeliaran dalam keadaan mencurigakan di kawasan masjid berkenaan.
“Sejurus suspek dilihat mahu mencuri kasut jemaah masjid yang diletakkan di rak berhampiran tangga masjid, beberapa ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan anggota polis segera memberkasnya sebelum dia sempat melarikan diri.
“Kegiatan penyamun kasut terbabit sudah sekian lama disedari berikutan beberapa jemaah masjid sebelum ini membuat laporan berhubung kehilangan kasut selepas menunaikan solat di sini,” katanya.
Susulan itu, pihak AJK masjid memeriksa rakaman CCTV untuk mengesan aktiviti jenayah berkenaan selain suspek yang amat dikehendaki itu.
“Selepas pasti dengan waktu operasi dilakukan penjenayah, AJK masjid dan polis memasang perangkap sebelum memberkas lelaki terbabit tengah hari tadi (semalam).
“Hasil siasatan mendapati suspek menggunakan kereta milik isterinya untuk melakukan jenayah. Lebih memeranjatkan apabila lelaki terbabit adalah suami kepada seorang guru yang bertugas di Damansara berdasarkan pelekat pada kereta digunakan,” katanya.
Hasil tangkapan pertama itu, suspek kemudian disoal siasat sebelum mengaku menjual beribu-ribu pasang kasut sejak sekian lama kepada seorang lelaki warga Indonesia yang tinggal di Datuk Keramat, di sini.
“Difahamkan suspek menjual kasut dicuri berkenaan kepada `pemborong’ kasut curi terbabit pada harga diskaun iaitu RM70 bagi tiga pasang kasut.
“Berikutan itu pihak polis terus membawa suspek pertama ke rumah pemborong warga Indonesia berkenaan sebelum lelaki warga asing itu turut diberkas. Pemeriksaan pada rumah suspek turut menemui beberapa bungkusan plastik berisi puluhan kasut dipercayai dicuri,” katanya.
Siasatan mendapati suspek warga Indonesia berkenaan yang mempunyai dokumen perjalanan sah kerap berulang alik ke negara ini, dipercayai untuk menyeludup kasut curi ke negara asalnya.
“Malah suspek turut mengaku menjual kasut curi berkenaan di pasar malam di sekitar ibu kota bagi mendapatkan keuntungan lumayan,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek dibawa semula ke Masjid Bukit Aman sebelum semua kasut yang dicuri dipamerkan untuk tatapan jemaah masjid.
- Mymetro
* Haramkan menjual kasut terpakai di pasar malam !!!
No comments:
Post a Comment