19 July 2009

Chua Jui Meng Sertai PKR Disebabkan Wawasan Sama

PETALING JAYA, 18 Julai (Benama) -- Bekas naib presiden MCA Datuk Chua Jui Meng mengumumkan beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan keluar daripada MCA.

Chua yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata beliau membuat keputusan itu tanpa syarat yang sepatutnya diberikan oleh PKR kepada beliau dan juga kerana wawasannya untuk pembaharuan adalah sama dengan wawasan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wawasan beliau untuk pembaharuan yang terkandung dalam manifestonya semasa pemilihan presiden MCA pada tahun lepas, adalah sama dengan wawasan Anwar, kata Chua ketika membuat pengumuman itu pada persidangan akhbar selepas menghadiri Forum Awam PKR: "Kebenaran Di sebalik Skandal Perak, Zon Bebas Pelabuhan Klang dan Konspirasi Barisan Nasional" di sini Sabtu.

Chua, yang melepaskan jawatannya sebagai pengerusi MCA Bahagian Bakri, Muar Johor Khamis lepas berkata, berkata beliau telah membandingkan manifestonya pada pemilihan presiden MCA tahun lepas adalah sama dengan Agenda Malaysia Anwar, yang dilihatnya banyak bidang dan persetujuan yang sama bagi kedua-duanya.

"Itulah yang menyebabkan saya sebenarnya terdesak menyertai PKR. PKR merupakan saluran betul untuk saya menyertainya," tambahnya.

Ditanya masa sebenarnya beliau membuat keputusan untuk menyertai PKR, katanya: "Baru-baru ini. Tapi sebelum dan selepas pemilihan parti MCA tahun lalu saya sudah keluarkan manifesto saya dengan idealisme dengan visi...saya bagi MCA. Manifesto PKR saya nampak banyak isu yang kita ada fikiran sama. Itu mustahak bagi saya. Kalau kita ada idea yang memang bercanggah saya takkan masuk PKR.

Chua berkata beliau tidak pernah menafikan atau mengesahkan akan menyertai PKR, walaupun banyak media melaporkan bahawa beliau menafikan bahawa beliau akan keluar daripada parti MCA dan menyertai parti pembangkang.

Katanya beliau akan menyerahkan surat keluar parti kepada presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat tidak lama lagi.

"Beliau adalah sahabat saya. Beliau adalah seorang yang teguh dengan idea dan prinsip. Saya hormati beliau kerana itu, dan saya fikir beliau juga menghormati saya. Jadi hubungan kita akan terus sebagai sahabat," tambah beliau.

Sementara itu Anwar berkata PKR akan memberikan Chua satu jawatan dalam parti dan perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat majlis tertinggi parti itu akan datang.

Ditanya siapa yang memainkan peranan untuk menarik Chua menyertai PKR, Anwar berkata: "beberapa sahabat...kita bertemu beberapa kali."

-- BERNAMA

* Pakatan Rakyat semakin kuat

No comments:

Post a Comment